Sabtu, 17 Ogos 2019 | 4:39pm
NOR Izzati Mohamad Salim (empat dari kanan) pada majlis perasmian cawangan Costa Coffee di Sunway Pyramid Bandar Sunway. - Foto Amirudin Sahib

100 cawan kopi percuma sehari di Costa Coffee

PETALING JAYA: Gapurna Permai Sdn Bhd, pemegang francais induk kedai kopi jenama Costa Coffee di Malaysia, melabur sekitar RM6 juta setakat ini bagi membuka enam cawangan Costa Coffee di sekitar Lembah Klang.

Pengarahnya, Nor Izzati Mohamad Salim, berkata pihaknya bercadang meningkatkan pelaburan menjelang 2020 dengan membuka lebih banyak cawangan Costa Coffee dalam tempoh terdekat.

“Kami menerima maklum balas positif daripada pelanggan sejak pembukaan Costa Coffee dalam tempoh dua minggu lalu dan yakin jenama kopi bertaraf dunia ini akan diterima baik di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian cawangan Costa Coffee di Sunway Pyramid di sini hari ini.

Enam cawangan Costa Coffee itu terletak di lokasi terkenal di Bangsar Shopping Centre (BSC), NU Sentral Mall, Sunway Pyramid, Menara Allianz, Q Sentral dan MCMC Cyberjaya.

Nor Izzati berkata, Costa Coffee dibawa masuk ke negara ini bagi berkongsi pengalaman menikmati kopi kegemaran berasal dari London itu kepada penggemar kopi tempatan.

Tahun lalu Gapurna Permai memeterai perjanjian terma induk dengan Costa Coffee PLC dari United Kingdom (UK) bagi melantik syarikat itu sebagai francaisi induk rangkaian kopi itu di Malaysia.

Di bawah perjanjian francais itu, Gapurna Permai berhasrat membuka 65 cawangan Costa Coffee di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Costa Coffee adalah kedai kopi pilihan di UK, memenangi "Rangkaian Kedai Kopi Berjenama Terbaik di UK dan Ireland" oleh Allegra Strategies selama lapan tahun berturut-turut dari 2010 hingga 2017.

Diasaskan di London oleh adik beradik warga Itali, Sergio dan Bruno Costa pada 1971, Costa Coffee mengendalikan lebih 2,600 cawangan di UK dan lebih 1,300 cawangan di 32 pasaran antarabangsa,

Costa Coffee dihasilkan daripada gabungan biji kopi jenama Mocha Italia terpilih yang diadun khusus oleh ‘master barista’.

Pencinta kopi kini boleh menikmati kopi kegemaran mereka termasuk Flat White yang begitu popular, bersama pelbagai pilihan minuman istimewa berasaskan kopi lain, selain menu makanan lazat seperti pastri, sandwic dan kek.

Sempena sambutan pembukaan enam cawangan Costa Coffee itu, sehingga 100 cawan kopi percuma sehari disediakan di Sunway Pyramid pada 18-20 Ogos dan di Q Sentral pada 27-29 Ogos 2019.

Berita Harian X