Isnin, 29 Julai 2019 | 7:03pm
KETUA Pegawai Eksekutif MDEC dan eUsahawan, Surina Shukri. - Foto Rohanis Shukri

Kumpulan kedua eUsahawan Level Up bersiap ke peringkat global

KUALA LUMPUR: Pereka dari Sabah menjual pakaian batik Borneo, syarikat jus kurma, dan perniagaan sarung lengan muslimah adalah antara usahawan tempatan meraih manfaat daripada program eUsahawan Level Up.

Ia adalah program lanjutan daripada inisiatif eUsahawan yang dimulakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dan eUsahawan, Surina Shukri, berkata program hasil kerjasama antara MDEC dan program Coach and Grow Cradle Fund Sdn Bhd itu menawarkan latihan khusus kepada 50 peserta berpotensi tahun ini, dipilih daripada 113,588 usahawan mikro yang dilatih di bawah program eUsahawan pada 2018.

Beliau berkata, mereka adalah kumpulan kedua yang menamatkan program eUsahawan Level Up, yang terbukti menghasilkan nilai berganda kepada ekonomi negara.

"Peserta daripada kumpulan yang pertama memulakan program ini lebih setahun lalu mencapai purata pertumbuhan perniagaan terkumpul sebanyak 85 peratus dalam waktu latihan, berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain yang biasanya berkembang pada kasar tujuh hingga lapan peratus setahun.

"Kumpulan terkini graduan ini mencapai pendapatan kumulatif lebih daripada RM11 juta, 106 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang mereka tetapkan pada permulaan program," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis graduasi 50 peserta yang tamat program eUsahawan Level Up kumpulan kedua di sini hari ini.

Surina berkata, dalam era ekonomi digital ini, usahawan MDEC adalah pemacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

"Program eUsahawan Level Up adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memupuk usahawan berpotensi tinggi untuk mewujudkan perniagaan yang mapan menerusi peningkatan keupayaan digital dan bimbingan mentor, antaranya.

"Program intensif enam bulan itu melengkapkan usahawan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mendorong perniagaan mereka ke pentas global dan berkembang di luar sempadan biasa, " katanya.

Daripada 50 peserta program itu, tiga syarikat paling cemerlang dalam pelbagai aspek keusahawanan diceburi masing-masing, ialah MMI Murni Sdn Bhd yang mengeksport jus buah-buahan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Asphodel Studios, dengan kisah kejayaannya menghasilkan fabrik Kimono dan meneroka produk merentasi kebudayaan Jepun dan Malaysia serta Tasneem Natural, pengeluar balsam kosmetik kanak-kanak.

Berita Harian X