Isnin, 29 Julai 2019 | 8:17am
DBKL sedang menimbang memasang panel solar di bumbung bangunannya dengan bantuan TNB.

TNB, DBKL kaji usaha sama tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR: Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menimbang memasang panel solar di bumbung bangunannya dengan bantuan Tenaga Nasional Bhd (TNB), selari inisiatif Pelan Tindakan Masyarakat Karbon Rendah Kuala Lumpur 2030.

TNB berkata, anak syarikat milik penuhnya, TNBX Sdn Bhd, baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang tidak mengikat, untuk tiga tahun dengan DBKL dalam usaha sama yang berpotensi itu.

"Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan usaha sama ini, DBKL akan mendapat manfaat daripada bekalan elektrik bersih pada kos sifar pendahuluan, dengan TNB membuat pelaburan, mereka bentuk dan menyelenggara sistem solar fotovoltan (PV) sepanjang kontrak 20 hingga 25 tahun.

"DBKL akan dibilkan untuk bekalan elektrik yang dijana daripada panel solar pada kadar yang lebih rendah berbanding tarif biasa elektrik TNB. DBKL juga boleh menjual lebihan tenaga yang ada kepada TNB menerusi Skim Meter Tenaga Bersih," menurut syarikat utiliti negara itu dalam kenyataan.

Menurut TNB, MoU itu adalah sebahagian daripada inisiatif pengurusan tenaga di Malaysia, dan menyokong usaha negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dalam keluaran dalam negara kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

MoU itu juga merangkumi promosi teknologi hijau dengan memberi tumpuan kepada kesedaran dan capaian awam, pelaksanaan revolusi industri 4.0 dan penyelesaian bandar pintar, mengoptimum pengurusan aset, dan inisiatif penyelidikan yang berterusan dalam teknologi tenaga boleh baharu.

Perjanjian itu dimeterai Pengarah Urusan TNBX, Ir Nirinder Singh Johl, manakala DBKL diwakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

TNB memeterai MoU sama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Mac tahun ini.

Syarikat itu mensasarkan menjana 1,700 megawatt tenaga boleh diperbaharui pada 2025 selaras sasaran kerajaan untuk menjana 20 peratus tenaga elektrik melalui sumber tenaga boleh baharu menjelang 2030.

Berita Harian X