Isnin, 22 Julai 2019 | 4:38pm
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada AS$103.3 bilion pada 15 Julai 2019 daripada AS$102.7 bilion pada 28 Jun 2019. - Arkib NSTP
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada AS$103.3 bilion pada 15 Julai 2019 daripada AS$102.7 bilion pada 28 Jun 2019. - Arkib NSTP

Rizab antarabangsa BNM meningkat

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$103.3 bilion pada 15 Julai 2019 daripada AS$102.7 bilion pada 28 Jun 2019.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata paras rizab itu memadai untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

BNM berkata, komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$97.1 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.8 bilion) dan lain-lain aset rizab (AS$2.1 bilion).

Ia berkata, aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM427.99 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.28 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM3.34 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM6.95 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset-aset lain (RM11.63 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM141.31 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.50 bilion), deposit institusi kewangan (RM154.41 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM21.61 bilion), deposit lain (RM1.45 bilion), kertas Bank Negara (RM18.58 bilion), peruntukan SDR (RM7.72 bilion), dan liabiliti lain (RM2.66 bilion). - BERNAMA

Berita Harian X