Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:38pm
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melawat gerai pameran selepas pelancaran zon 'hatchery' di Pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (MIRF 2019) anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melawat gerai pameran selepas pelancaran zon 'hatchery' di Pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (MIRF 2019) anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Data keusahawanan digabung pacu pertumbuhan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggabungkan semua data mengenai keusahawanan untuk mendapatkan maklumat tepat bagi memacu pertumbuhan industri berkenaan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

“Data berkenaan diperoleh menerusi maklumat yang akan disalurkan oleh 14 kementerian dan 60 agensi berkaitan.

“Ia bagi membantu mendapatkan perspektif sebenar mengenai sektor keusahawanan serta memudahkan pengagihan sumber yang diperlukan,” katanya selepas pelancaran zon 'hatchery' di Pameran Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (MIRF 2019) anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (KDN 2030), kementerian sudah melakukan perbincangan dan membangunkan pelan tindakan bagi mengumpulkan maklumat yang diperlukan.

“Langkah itu penting untuk pengembangan dan pengukuhan keseluruhan industri keusahawanan negara.

“Ia juga memudahkan untuk merancang input bagi  pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata sektor peruncitan negara dijangka akan terus berkembang seiring dengan dasar 'mesra kerajaan', sekaligus menjadi antara penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, penyelidikan sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan jualan runcit dijangka meningkat tahun ini kepada 4.9 peratus daripada 4.5 peratus sebelumnya.

“Unjuran itu adalah berdasarkan prestasi industri lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama dan jangkaan pengembangan lebih kukuh untuk suku kedua.

“Ini akan dijadikan penanda aras untuk mencapai pertumbuhan sektor peruncitan lebih baik bagi tahun ini,” katanya.

MIRF 2019 menyasarkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM90 juta tahun ini, berbanding RM80 juta pada 2018 dan ia mampu menarik kedatangan kira-kira 18,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pameran yang berlangsung dari 18 hingga 20 Julai disertai 380 pempamer tempatan dan asing dari 10 negara termasuk Taiwan, China, Vietnam dan Singapura.

Berita Harian X