Khamis, 18 Julai 2019 | 6:11pm
KETUA Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong (dua dari kiri) melawat gerai pameran pada majlis pelancaran Program Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia, 'Innovation to Market (I2M), di Serdang, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Koko tanaman komoditi berpotensi besar

SERDANG: Industri koko Malaysia berpotensi menyumbang kepada pendapatan eksport negara sebanyak RM6 bilion pada tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Dr Tan Yew Chong, berkata koko antara komoditi berpotensi besar untuk dibangunkan menerusi pelaksanaan model perniagaan yang tepat, aktiviti pengkomersialan yang baik dan memperbanyakkan aktiviti hiliran.

"Sektor koko secara khususnya telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2018 dan menyumbang sebanyak RM1.44 bilion atau 0.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Jumlah itu peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya," katanya selepas melancarkan Program Pengkomersialan Hasil Penyelidikan Lembaga Koko Malaysia, 'Innovation to Market (I2M), di sini, hari ini.

Program empat hari itu adalah siri pertama daripada tujuh siri yang dirancang dalam tempoh enam bulan bagi menyampaikan pengetahuan dan kemahiran mengenai proses pemindahan teknologi serta pengkomersialan khusus kepada penyelidik Lembaga Koko Negara (LKM).

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Yew Chong berkata, kementerian kini giat memperbanyakkan aktiviti hiliran menerusi kerjasama kerajaan dengan pihak swasta.

"Pencapaian sektor koko kini perlu dipertingkatkan untuk memastikan Malaysia terus bersaing dengan pasaran luar.

"Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pasaran tempatan sahaja, tetapi berusaha untuk ke pasaran global. Pelbagai pendekatan yang boleh digunakan termasuk menggunakan konsep pemasaran digital," katanya.

Beliau berkata, produk koko Malaysia seperti penghasilan coklat menyumbang kepada nilai eksport tinggi kepada negara dan berpotensi tinggi untuk dikembangkan

"Nilai eksport coklat lima tahun dahulu berjumlah RM500 juta dan meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun lalu.

"Oleh itu, selain penanaman komoditi sawit, kita mungkin boleh kembali kepada penanaman koko yang turut menyumbang kepada sumber pendapatan yang baik," katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, beliau berkata, dianggarkan 20 hingga 30 teknologi yang akan dikomersialkan bagi menyokong sektor huluan dan hiliran industri koko.

"LKM setakat ini sudah menjalankan sebanyak 89 projek penyelidikan sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM54.4 juta.

"Dalam hal ini, sebanyak 19 produk dan teknologi LKM dikomersialkan dan mengenal pasti 63 produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti produk kosmetik, penjagaan diri dan makanan berpotensi untuk dikomersialkan," katanya.

Sementara itu, Norhalim berkata, produk koko Malaysia bukan hanya dipasarkan dalam negara tetapi kini mula menembusi pasaran antarabangsa seperti Maghribi.

"Dengan kerjasama daripada penyelidik dan usahawan, kami kini meninjau peluang pasaran luar negara baharu terutama di ASEAN dan negara Oceania.

"Kita sememangnya sudah memiliki produk dan kita yakin dari segi teknologinya sudah mencapai tahap yang dimahukan. Apa yang penting sekarang ini kita mahukan kerjasama dengan usahawan untuk mengkomersial dan memasarkan produk berkenaan," katanya.

Berita Harian X