Selasa, 16 Julai 2019 | 3:08pm

China tambah perbelanjaan perkukuh ekonomi

BEIJING: Perbelanjaan fiskal China meningkat 10.7 peratus dalam tempoh enam bulan pertama, dalam usaha kerajaan menyokong pertumbuhan ekonomi yang perlahan, demikian menurut Kementerian Kewangan negara itu.

Wakil rasmi daripada Kementerian Kewangan negara itu, Liu Jinyun, berkata dalam tempoh sama, pendapatan fiskal negara itu meningkat 3.4 peratus.

“Untuk tempoh separuh pertama tahun ini, perbelanjaan fiskal seluruh negara meningkat secara ketara berbanding peningkatan pendapatan, ia menyediakan sokongan kukuh dalam beberapa bidang utama," katanya pada sesi penerangan.

Bagaimanapun, mengikut data Kementerian Kewangan China, perbelanjaan fiskal dalam tempoh itu susut berbanding 15 peratus yang direkodkan pada suku pertama.

Data dikeluarkan semalam menunjukkan pertumbuhan n ekonomi China perlahan kepada 6.2 peratus pada suku kedua, paling lemah dalam tempoh 27 tahun berikutan permintaan di dalam dan luar merosot susulan tekanan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Kewangan negara itu turut menjelaskan, pendapatan cukai hanya meningkat 0.9 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding peningkatan 5.4 peratus pada suku pertama.

Bagaimanapun, wakil lain kementerian itu, Hao Lei berkata, pendapatan selain cukai dalam tempoh itu meningkat 21.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kerajaan pusat mengambil langkah menyalurkan dana kepada pihak berkuasa kerajaan tempatan untuk membantu mengurangkan ketegangan perbelanjaan dihadapinya.

“Berikutan kesan terhadap polisi potongan cukai dan pembayaran, pertumbuhan pendapatan fiskal bergerak perlahan sejak awal tahun, manakala wujud peningkatan tekanan terhadap pendapatan serta perbelanjaan," katanya.

Dalam tempoh enam bulan ini, bon kerajaan tempatan negara itu mencecah 2.1765 trilion yuan, iaitu 70.7 peratus daripada kuota tahunan ditetapkan.

Bon sektor itu mencecah 717 bilion yuan pada Jun iaitu tertinggi pada tahun ini.

Bagaimanapun ia tidak memperincikan jumlah bon khas dikeluarkan kepada kerajaan tempatan negara itu.

Beijing mengumumkan pemotongan cukai berjumlah hampir dua trilion yuan dan kuota 2.15 trilion kepada kerajaan tempatan untuk menjual bon khas pada tahun ini bagi menampung projek infrastruktur utama.

-Reuters

Berita Harian X