Ahad, 14 Julai 2019 | 9:07pm
SJK(C) Beng Teik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

TNB, SJK(C) Beng Teik meterai SARE

KUALA LUMPUR: SJK(C) Beng Teik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang memeterai perjanjian bekalan bagi tenaga boleh diperbaharui (SARE) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan anak syarikatnya, TNBX Sdn Bhd dan GSPARX Sdn Bhd.

Usaha itu sekali gus menjadikan SJK(C) Beng Teik sebagai sekolah pertama di negeri itu yang akan memasang sistem panel solar di bumbung bangunan sekolah.

“Apabila pemasangan selesai pada Oktober tahun ini, sekolah ini akan menjana 77.5kW elektrik untuk membiayai sebahagian kos bil elektriknya,” menurut TNB dalam kenyataan.

SARE adalah kontrak tiga pihak antara TNB, GSPARX sebagai Pelabur Solar Fotovoltan Berdaftar (RPVI) dan SJK(C) Beng Teik pula adalah pelanggan.

Perjanjian itu membolehkan SJK(C) Beng Teik menikmati kadar elektrik lebih rendah daripada tarif yang diwartakan.

SJK(C) Beng Teik juga boleh menjual lebihan tenaga solar daripada pemasangan panel solar PV kepada TNB dan memperoleh kredit tenaga berasaskan persetujuan kedua-dua pihak untuk mengurangkan lagi bil elektriknya menerusi skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

Ketua Pegawai Runcit TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata skim itu secara amnya ditawarkan kepada kerajaan tempatan dan Persekutuan, serta pelanggan komersial dan industri untuk membantu mereka mengurangkan kos elektrik menerusi penjanaan tenaga boleh baharu.

“Kami berharap skim SARE akan menjadi antara inisiatif untuk memastikan penciptaan nilai kelestarian,” katanya.

Megat Jalaluddin juga berkata, TNB sedang meneroka peluang kerjasama bersama beberapa syarikat berpengalaman yang berkedudukan kukuh dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui. -- BERNAMA

Berita Harian X