Ahad, 14 Julai 2019 | 8:21pm
Langkah kerajaan menguatkuasakan cukai minuman dijangka hanya mendatangkan kesan minimum kepada pendapatan negara. - Foto hiasan
Langkah kerajaan menguatkuasakan cukai minuman dijangka hanya mendatangkan kesan minimum kepada pendapatan negara. - Foto hiasan

Cukai minuman bergula beri kesan sementara

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menguatkuasakan cukai minuman dijangka hanya mendatangkan kesan minimum kepada pendapatan negara, demikian menurut penganalisis ekonomi.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata untuk permulaan, kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan daripada cukai berkenaan tetapi pengeluar minuman bergula juga dijangka akan menukar formula minuman keluarannya.

“Langkah itu akan diambil bagi membolehkan kandungan gula dalam minuman keluaran mereka berada di bawah paras minimum.

“Justeru, kesan ke atas kewangan negara adalah minimum dan keuntungan syarikat kekal seperti biasa. Sebenarnya, kerajaan perlu mengkaji pola minuman rakyat kerana jika rakyat cenderung minum teh tarik di restoran (yang tidak tertakluk kepada cukai ini) berbanding minuman soda, maka kesihatan rakyat tidak dapat dipertingkatkan,” katanya ketika dihubungi BH baru-baru ini.

Pada 1 Julai lalu, kerajaan melaksanakan cukai minuman bergula dengan semua syarikat pengeluar minuman diberi tempoh peralihan sehingga 31 Ogos ini.

Ia susulan pengumuman dalam Belanjawan 2019 mengenai cadangan untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum dengan nilai ambang kandungan gula.

Berdasarkan pengumuman itu, ia merujuk kepada air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi lima gram per 100 mililiter (ml) dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran di bawah kepala kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100ml.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), cukai terhadap gula dapat membantu mengurangkan penggunaannya serta menambahkan pendapatan kerajaan.

“Pendapatan berkenaan boleh digunakan untuk program nutrisi makanan dalam kalangan pelajar dan rakyat Malaysia secara amnya.

“Memandangkan Malaysia adalah antara negara yang mencatat jumlah tertinggi obesiti dan penyakit seperti kencing manis, jantung dan strok, maka cukai dilihat boleh membantu dalam mengurangkan penyakit-penyakit ini.

“Dalam usaha kerajaan untuk membangunkan negara, sumber manusia adalah penting dan dalam menjalankan pekerjaan, kesihatan adalah amat penting kerana ia membantu dalam meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Tambahnya lagi, pengurangan penyakit ‘non-communicable disease’ (NCD) ini dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan terhadap sektor kesihatan terutamanya dari segi ubat-ubatan.

“Selain itu juga, cukai ini juga akan menggalakkan syarikat atau perniagaan berkaitan minuman akan berusaha melalui penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan minuman yang sedap dan pada yang sama berkhasiat.

“Justeru, secara keseluruhannya, cukai ini perlu dilihat dari sisi yang positif,” katanya.

Berita Harian X