Selasa, 9 Julai 2019 | 4:45pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

DKN 2030 pelan hala tuju tambah usahawan berkualiti

KUALA LUMPUR: Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis ini adalah pelan hala tuju bagi meningkatkan bilangan usahawan yang lebih berkualiti serta mempunyai pemikiran global dan kompetitif.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata antara objektif dasar itu ialah bagi mewujudkan satu ekosistem keusahawanan holistik dan berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa selain menjadikan sektor perniagaan sebagai kerjaya pilihan oleh rakyat Malaysia.

“Dalam usaha menjadi sebuah negara keusahawanan, perkara paling penting adalah membentuk masyarakat Malaysia yang mempunyai fikiran dan budaya keusahawanan. Kita mahu lihat lebih ramai masyarakat menceburi bidang perniagaan tanpa mengira kaum dan usia.

“Apabila berjaya menjadi negara keusahawanan, apa jua yang berlaku dalam ekonomi negara ia tidak menjejaskan pendapatan masyarakat itu sendiri. Maksudnya rakyat mampu bertahan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Bernama Today terbitan Bernama News Channel.

Mohd Hatta berkata, kementerian optimis sektor keusahawanan dapat meningkatkan ekonomi negara sehingga 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.

Beliau berharap dasar itu dapat meningkatkan sumbangan sektor keusahawanan terutama berteraskan koperasi kepada KDNK pada masa depan.

“Satu lagi aspek penting dalam keusahawanan adalah koperasi. Negara kita mempunyai 14,000 koperasi yang kita mahu sumbangannya signifikan. Maksudnya kalau sekarang perolehan mereka sekitar RM40 bilion, kita sasarkan pada 2030 ia meningkat kepada RM60 bilion.

“Sekiranya berjaya, koperasi yang membabitkan orang awam menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X