Selasa, 9 Julai 2019 | 4:41pm

MCMC mulakan siasatan peruntukan jalur spektrum

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan awam mengenai peruntukan jalur spektrum berkaitan jalur spektrum 700, 2300 dan 2600MHz, mulai 1 Julai lalu.

Ini adalah kali pertama MCMC menjalankan siasatan awam mengenai peruntukan spektrum dan pendekatannya adalah untuk memastikan ketelusan dalam kaedah peruntukan spektrum.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan awam berkenaan yang akan berlangsung sehingga 30 Ogos ini, akan mematuhi proses yang digariskan di bawah Bahagian V, Bab 3 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan awam berkenaan adalah untuk mendapatkan pandangan daripada pakar industri, orang ramai dan pihak yang berkepentingan berhubung beberapa cadangan MCMC berkaitan jangka masa peruntukan spektrum, perkara teknikal dan fi spektrum.

Katanya, kertas siasatan awam itu menggariskan beberapa kedudukan awal MCMC berkaitan cadangan lebar jalur optimum bagi setiap jalur speckrum, mekanisme pemberian (tender atau penukaran langsung), garis masa bagi proses peruntukan dan prinsip-prinsip luas untuk menentukan bayaran spektrum.

Mengoptimumkan penggunaan spektrum penting untuk memastikan kualiti perkhidmatan, liputan yang lebih luas dan kelajuan jalur lebar mudah alih yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.

MCMC menjelaskan, ia juga seiring dengan matlamat mencapai kelajuan purata 30 Mbps dalam 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023 di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

-BERNAMA

Berita Harian X