Sabtu, 6 Julai 2019 | 5:15pm

Pertunjukan Udara Paris beri galakan kepada industri aeroangkasa Malaysia - MATRADE

FRANKFURT: Penyertaan Malaysia pada Pertunjukan Udara Paris baru-baru ini memberi galakan kukuh kepada industri aeroangkasa negara.

Ia berdasarkan jumlah perjumpaan perniagaan kepada perniagaan dan nilai perniagaan yang dijangka hasil daripada perjumpaan itu.

Demikian menurut Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara (MATRADE), Badrul Hilal Hisham.

“Berdasarkan maklum balas yang kami terima, terdapat 284 perjumpaan perniagaan diaturkan MATRADE yang berpotensi membawa nilai perniagaan sebanyak RM700 juta,” katanya kepada BERNAMA.

“Program itu disertai 12 syarikat aeroangkasa Malaysia,” kata Badrul Hilal yang berpangkalan di Frankfurt dan terbabit dalam penyertaan Malaysia pada Pertunjukan Udara Paris.

Antara nama besar dalam industri aeroangkasa Malaysia ialah Composites Technology Research Malaysia (CTRM), UMW Aerospace Sdn Bhd, Jecmetal Industries Sdn Bhd, Sapura Aerospace Technologies Sdn Bhd dan Curge Advance Sdn Bhd mempamerkan perkhidmatan dan produk masing-masing, termasuk bahan komposit, bahagian dan komponen, perkhidmatan reka bentuk kejuruteraan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), dan juga aplikasi satelit.

Kerajaan Malaysia percaya aeroangkasa boleh berperanan sebagai pencetus perubahan yang boleh mendapat tempat dalam peta dunia berteknologi tinggi.

MATRADE mengetengahkan strategi untuk memberi dorongan yang kuat kepada industri aeroangkasa negara dengan menggalakkan syarikat mempamerkan kekuatan mereka di pertunjukan antarabangsa berprestij seperti di Paris, dengan pembekal Tier-1 dan Tier-2 terkemuka di dunia hadir, selain pengeluar peralatan asli (OEM) dalam aeroangkasa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa, memberitahu BERNAMA bahawa aeroangkasa boleh menambah imej antarabangsa Malaysia sebagai pembekal perkhidmatan dan produk yang sangat canggih.

“Jangan lupa bahawa aeroangkasa juga berpotensi untuk mewujudkan pekerjaan dan menyediakan punca pendapatan kepada rakyat Malaysia, selain meningkatkan eksport kami. Dengan menyokong industri seperti aeroangkasa, Malaysia juga menyumbang dalam analisis terakhir untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menawarkan peluang pekerjaan yang baik,” kata Wan Latiff sambil menambah matlamatnya ialah menjadikan Malaysia sebuah hab penerbangan.

Beliau berkata, syarikat Malaysia dapat memenuhi tuntutan OEM yang ketat, sehubungan itu ia menjadi penghubung yang bernilai dalam rantaian bekalan global.

MATRADE berkata, eksport Malaysia untuk komponen dan bahagian aeroangkasa pada 2018 meningkat 20.7 peratus kepada RM8.48 bilion, pasaran utama ialah Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Perancis, China dan Singapura.

Dalam tempoh yang sama import meningkat sehingga 26.2 peratus kepada RM15.91 bilion, terutama dari Perancis, AS, Belanda, China dan Singapura.

“Juga, pertimbangkan manfaat ekonomi...pada 2018, aeroangkasa menjana hasil keseluruhannya berjumlah RM13.3 bilion, 48 peratus datangnya daripada pengilangan aeroangkasa dan 40 peratus daripada kerja-kerja MRO,” katanya.

Lima komponen utama sektor aeroangkasa ialah pengilangan bahagian/komponen, segmen MRO, sistem integrasi, reka bentuk kejuruteraan dan pembangunan sumber manusia, katanya.

Sementara itu, Malaysia, menghasilkan bahagian yang rumit untuk sayap pesawat, kipas, casis enjin dan bahagian badan pesawat yang dibuat daripada bahan komposit, aluminium, titanum dan lain-lain.

SPIRIT Aerosystems berpangkalan di Subang adalah antara pembekal Tier-1 struktur pesawat, namun bekalan agak sedikit untuk pengeluar pesawat besar seperti Airbus dan Boeing sebagai pembekal Tier-2, sehubungan itu menjadikan mereka ‘pembekal asal kepada pembekal’. - BERNAMA

Berita Harian X