Sabtu, 6 Julai 2019 | 2:09pm

Ringgit dijangka RM4.12 - RM4.14 minggu depan

KUALA LUMPUR: Sentimen teguh ke atas ringgit berkemungkinan akan mendorong mata wang tempatan itu untuk terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, untuk didagangkan pada tahap antara 4.1150 dan 4.1450.

Ketua Strategi Perdagangan dan Pasaran SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit akan mendapat manfaat daripada penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS, malah mungkin akan lebih baik sekiranya penurunan itu sebanyak 50 mata asas.

"Saya menjangkakan kadar faedah yang rendah berdasarkan kedudukan ekonomi global yang lemah.

"Namun ekonomi Malaysia agak berdaya tahan dan jika Rizab Persekutuan menurunkan kadar, ini akan memberikan lebih banyak ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan kadar faedah tahun ini, jika perlu.

"Saya menjangkakan ketidaktentuan dalam gaji bukan ladang AS (NFP), namun selepas itu, saya menjangkakan pasaran akan bergerak mengikut faedah rendah Rizab Persekutuan yang seterusnya akan membantu ringgit," katanya kepada BERNAMA.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata Rizab Persekutuan berkemungkinan menurunkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini, dan mungkin seawal bulan ini.

"Selain itu, perdamaian sementara dalam perang perdagangan AS-China sedikit sebanyak, menyuntik keyakinan bahawa kedua-dua negara akan mencari penyelesaian yang baik," katanya.

Minggu depan, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM akan diadakan pada 9 Julai 2019 dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangka kadar dasar semalaman tidak berubah pada kadar 3.00 peratus.

"Sehubungan itu, ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.12 dan RM4.14 minggu depan," katanya.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit bermula dalam kedudukan yang lemah apabila sentimen ke atas dolar meningkat berikutan perkembangan positif perang perdagangan AS-China dengan kedua-dua pemimpin kuasa besar ekonomi itu bersetuju untuk berdamai, selain prospek penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

Mata wang tempatan, bagaimanapun melantun pada Rabu berikutan harapan perjanjian perdagangan AS-China dicapai dalam jangka pendek tidak menjadi kenyataan, dengan harga minyak meningkat, sebelum menyusut pada Jumaat ekoran sentimen berhati-hati menjelang pengumuman NFP.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit menyusut sedikit kepada 4.1340/1370 daripada 4.1300/1350 berbanding dolar AS.

Mata wang tempatan bagaimanapun didagangkan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0493 daripada 3.0520/0568 yang dicatatkan Jumaat sebelumnya dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8267/8306 daripada 3.8354/8412.

Mata wang tempatan juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.1882/1932 daripada 5.2352/2419 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6557/6607 daripada 4.7012/7085. - BERNAMA

Berita Harian X