Jumaat, 5 Julai 2019 | 5:06pm

Dana pencen Jepun raih untung berganda

TOKYO: Japan's Government Pension Investment Fund (GPIF), dana pencen terbesar di dunia mencatatkan keuntungan 9.1 trilion yen (RM348.2 bilion) bagi tempoh Januari-Mac, selepas mengalami kerugian pada suku sebelumnya susulan peningkatan dalam pasaran saham.

Dana itu, yang menguruskan aset bernilai 159.2 trilion yen (RM6.09 trilion) setakat akhir Mac lalu, mencatatkan keuntungan bagi suku dikaji sebanyak 2.7 trilion yen (RM103.3 bilion) dalam saham domestik dan 5.1 trilion yen (RM195.1 bilion) dalam saham asing.

Purata pasaran saham Nikkei Jepun meningkat 8.4 peratus pada suku dikaji, didorong oleh spekulasi langkah dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan memotong kadar faedah.

GPIF mengalami kerugian 14.8 trilion yen (RM566 bilion) pada suku keempat tahun lalu berikutan kebimbangan mengenai peningkatan perang perdagangan AS-China yang melanda pasaran global.

Memandangkan kadar faedah di Jepun yang amat rendah, GPIF menarik keluar sebahagian pelaburannya daripada bon domestik yang tidak menguntungkan dan berpindah melabur di aset asing.

Setakat Mac lalu, dana itu mempunyai pelaburan sebanyak 26.3 peratus daripada portfolionya dalam bon Jepun, berbanding 36.15 peratus pada September 2016 apabila Bank of Japan melancarkan dasarnya yang mengenakan hasil bon kerajaan untuk 10 tahun sekitar sifar peratus.

Sebaliknya, pegangan bon asing GPIF menyumbang 16.95 peratus daripada portofolionya pada suku dikaji.

Ia membeli 630 bilion yen (RM24 bilion) bon asing pada suku dikaji, menurut pengiraan Reuters berdasarkan keputusan dana itu.

GPIF memperuntukkan 23.55 peratus untuk saham domestik dan 25.53 untuk saham asing. - Reuters

Berita Harian X