Khamis, 4 Julai 2019 | 1:51pm
Bank-bank Islam Maya akan menarik golongan millennial. (Namun) tidak semua orang akan menggunakan perbankan digital. - Arkib NSTP
Bank-bank Islam Maya akan menarik golongan millennial. (Namun) tidak semua orang akan menggunakan perbankan digital. - Arkib NSTP

Bank maya pikat golongan muda kepada perbankan Islam

NUR-SULTAN (KAZAKHSTAN): Ruang perbankan maya mampu menarik pelanggan muda atau millennial, yang sangat bergantung pada teknologi, kepada bank-bank Islam Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Datuk Dr Azmi Omar berkata sebahagian besar penduduk Malaysia kini terdiri daripada generasi millennial.

"Menangani millennial ini penting kerana mereka menggunakan aplikasi digital. Oleh itu, bank-bank Islam mesti bijak, sama ada mereka mewujudkan sebuah anak syarikat, bank maya, atau menawarkan lebih banyak perkhidmatan menggunakan aplikasi maya," katanya kepada Bernama di luar Astana Finance Day 2019.

Azmi mengulas soalan mengenai bagaimana bank maya dapat memberi manfaat kepada perbankan Islam di Malaysia, selari dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menyediakan keperluan untuk pelesenan maya menjelang akhir tahun.

"Bank-bank Islam Maya akan menarik golongan millennial. (Namun) tidak semua orang akan menggunakan perbankan digital. Ia adalah alternatif. Anda boleh melancarkan (operasi) ke negara-negara lain berasaskan skala ekonomi anda," katanya.

Mac lalu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus, berkata bank pusat itu menjalankan perbincangan awal dengan beberapa bank serta bersama bank-bank maya di luar negara.

Moody’s dalam laporan penuhnya mengenai Perbankan Islam di Malaysia dan Indonesia, menyatakan bahawa Malaysia merancang mengeluarkan lesen baharu perbankan maya menjelang akhir 2019.

Ini boleh meningkatkan persaingan untuk deposit, terutama dalam kalangan bank Islam, dengan francais deposit yang lemah.

Menurut agensi penarafan itu, bank-bank Islam di Malaysia mempunyai rangkaian fizikal dan sumber yang lebih kecil untuk mengumpul deposit pelanggan runcit kos rendah berbanding rakan konvensional mereka.

Oleh itu, bank-bank Islam sering bergantung kepada pendeposit korporat yang besar yang lazimnya lebih sensitif terhadap perubahan kadar.

Moody's berkata pendigitalan bank-bank Islam akan lebih cepat di Malaysia berbanding Indonesia memandangkan operasi Islam merupakan bahagian yang lebih penting dalam kumpulan perbankan dan menjadi pusat strategi pertumbuhan mereka.

Bank-bank Islam yang lebih besar di Malaysia terdiri daripada anak-anak syarikat kumpulan perbankan, dan oleh itu mereka akan mendapat manfaat daripada pelaburan pendigitalan keseluruhan kumpulan. - BERNAMA

Berita Harian X