Rabu, 3 Julai 2019 | 11:32am
Lee Iacocca meninggal pada usia 94 tahun. - Foto Reuters
Lee Iacocca meninggal pada usia 94 tahun. - Foto Reuters

Lee Iacocca meninggal dunia

LOS ANGELES: Lee Iacocca, eksekutif industri automotif berkarisma yang memperkenalkan Amerika dengan Ford Mustang dan disanjungi kerana menyelamatkan Chrysler daripada bankrap, meninggal pada usia 94 tahun, kata Fiat Chrysler.

Iacocca meninggal Selasa di rumahnya di Bel-Air, California susulan komplikasi penyakit Parkinson, anak perempuannya, Lia Iacocca Assad, memberitahu Washington Post.

"Syarikat sedih dengan berita pemergian Lee Iacocca. Beliau memainkan peranan bersejarah dalam mengemudi Chrysler mengharungi krisis dan menjadikan syarikat itu daya kompetitif yang sebenar," kata Fiat Chrysler Automobiles dalam satu kenyataan.

"Beliau adalah antara pemimpin besar syarikat kami dan industri automotif secara keseluruhannya.

“Beliau juga memainkan peranan penting dan tidak kenal lelah pada peringkat kebangsaan sebagai negarawan dan dermawan perniagaan," kata syarikat itu.

Sepanjang karier hampir lima dekad di Detroit yang bermula pada 1946 di Ford Motor Co, anak lelaki pendatang Itali itu terpapar di muka depan majalah Time, Newsweek dan New York Times Sunday Magazine yang menggambarkan beliau sebagai ikon Era Automotif Amerika.

Antara ketua eksekutif selebriti pertama AS, autobiografi beliau berada di senarai paling atas pada pertengahan 1980an. - Reuters

Berita Harian X