Isnin, 24 Jun 2019 | 6:33pm
Zeti (kiri) dan Abdul Rahman pada sesi taklimat Prestasi Separuh Pertama PNB 2019, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nadim Bokhari

PNB pertimbang jual tanah seimbangkan portfolio domestik

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) bercadang untuk menjual tanah yang dimilikinya bagi tujuan menyeimbangkan semula portfolio domestik syarikat pengurusan dana terbesar itu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pada masa ini PNB memiliki simpanan tanah seluas 3,642 hektar di negara ini.

Beliau berkata, sesetengah plot tanah yang dimiliki PNB kini sudah meningkat nilainya.

“PNB tidak berhasrat untuk memajukan tanah yang kami miliki. Selepas siapnya projek Menara 118 dan Project 1194, kami tidak akan lagi menjadi pemaju hartanah.

“Kami memiliki tanah dan rancangan yang dibuat adalah apabila nilai tanah itu sudah matang, PNB akan menjualnya kepada pemaju hartanah. Kami sudah mempunyai Sime Darby Properties dan SP Setia, mereka boleh membuat bidaan untuk membeli tanah milik PNB,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat Prestasi Separuh Pertama PNB 2019, di sini, hari ini.

Nilai keseluruhan portfolio hartanah PNB di peringkat domestik dan global pada masa ini dianggarkan sekitar RM8 bilion.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pemilikan tanah yang dibuat PNB disifatkan sebagai kelas aset yang baik.

“Ini kerana, dalam jangka masa tertentu, harga tanah akan meningkat apabila ia matang.

“Justeru, ia dilihat sebagai kelas aset yang baik bagi portfolio hartanah domestik PNB,” katanya.

Berita Harian X