Isnin, 24 Jun 2019 | 5:22pm
MENTERI Kerja Raya, Baru Bian berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kementerian Kerja Raya ke arah digitalisasi industri pembinaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya kini dalam sedang menuju ke arah digitalisasi industri pembinaan yang menumpukan usaha meningkatkan dan mengoptimumkan produktiviti industri pembinaan menerusi teknologi sebagai pemangkin kepada inisiatif inovasi, digitalisasi dan kemajuan teknologi.

Menterinya, Baru Bian, berkata ia bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan mekanisme, perisian dan robotik namun turut menyediakan data, maklumat masa nyata, sistem lebih cekap yang akan menghubungkan kementerian dan agensi untuk menzahirkan aspirasi ketelusan antara kementerian dan pengguna akhir.

“Kami mahu membina bandar pintar, infrastruktur bersepadu dan membentuk masa depan dengan membawa semua industri bersama.

“Masa telah pun berubah dengan pesat sejak akhir-akhir ini dan pelbagai cabaran berlaku dalam persekitaran ekonomi global.

“Di era digital hari ini, penggunaan dan penyesuaian teknologi dan inovasi baru tidak lagi menjadi pilihan tetapi keperluan dalam usaha meningkatkan produktiviti industri pembinaan,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) 2019 di sini, hari ini.

Sidang kemuncak selama tiga hari bermula hari ini itu menghimpunkan 250 peserta terdiri daripada pakar dan profesional industri yang akan berkongsi perjalanan negara dalam revolusi perindustrian.

Mengulas lanjut, Baru berkata, sebagai negara membangun yang disokong oleh permintaan domestik dan pertumbuhan asas yang luas, Malaysia tidak terlepas daripada berdepan isu teknologi, tenaga buruh dan kos di semua sektor.

“Justeru, keutamaan kerajaan ketika ini termasuk memperkasakan modal insan melalui pengambilan semula dan peningkatan kemahiran teknologi digital untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dan mengurangkan jurang bakat.

“Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang dilancarkan pada 2015 sebagai pelan induk pembinaan lima tahun juga sedang dikaji semula untuk mengukuhkan mekanisme dan sasaran pelan induk berkenaan.

“Kementerian Kerja Raya bersama dengan pelbagai kementerian dan agensi komited untuk menggalakkan inisiatif dan mekanisme di bawah CITP dan rangka kerja IR 4.0 untuk menangani cabaran yang berterusan dalam industri pembinaan,” katanya.

Jabatan Statistik Malaysia melaporkan nilai kerja pembinaan pada suku pertama 2019 mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus kepada RM37.4 bilion.

Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan positif dalam subsektor kejuruteraan sivil dengan 9.5 peratus manakala subsektor aktiviti perdagangan khas pada 4.3 peratus.

Berita Harian X