Khamis, 20 Jun 2019 | 10:15am
MOHD Redzuan Yusof

PKS tempatan dijangka raih RM20 juta di Paris Airshow 2019

PARIS: Empat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia berpotensi meraih jualan bernilai RM20 juta di Paris Airshow 2019.

PKS itu ialah Curge Advance Sdn Bhd, Jecmetal Industries Sdn Bhd, JWR Industries Sdn Bhd

dan Venture Die Casting Sdn Bhd.

Mereka mewakili pelbagai industri seperti pembuatan komponen dan bahagian pesawat, pemesinan logam berkejituan tinggi, fabrikasi logam dan kemasan permukaan.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu hari ini.

Beliau berkata, penyertaan PKS di bawah Malaysia Pavilion itu mendapat minat dan banyak pertanyaan daripada kedua-dua peserta aeroangkasa domestik dan asing dari United Kingdom, Perancis dan Jepun.

Ia bagi potensi menjalin usaha sama, integrasi ke rantaian bekalan aeroangkasa dan perkongsian pengalaman teknologi dalam fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersialan, terutamanya dalam pembuatan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

PKS tempatan yang mengambil bahagian dalam pameran itu meraih manfaat kerana ia menyediakan mereka peluang untuk menjana potensi jualan dan pelaburan, sekali gus mewujudkan kesan berganda bagi PKS Malaysia dalam industri aeroangkasa global.

Redzuan selepas ini akan memulakan lawatan dua hari ke Britain yang mana beliau dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk "Prospek Pasaran Halal dan Keusahawanan" kepada 14 pemimpin keusahawanan tempatan di Cambridge Judge Business School.

Berita Harian X