Rabu, 19 Jun 2019 | 7:13pm
Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan (kanan) bersama Timbalan Pengerusi MFA, Datuk Zahriah Abd Kadir (kiri) ketika melancarkan Anugerah Francais Malaysia 2019 di Hotel Seri Pacific. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan (kanan) bersama Timbalan Pengerusi MFA, Datuk Zahriah Abd Kadir (kiri) ketika melancarkan Anugerah Francais Malaysia 2019 di Hotel Seri Pacific. - NSTP/Saifullizan Tamadi

MFA sasar RM35 bilion sumbangan industri francais kepada KDNK

KUALA LUMPUR: Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan sumbangan industri francais kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM35 bilion menjelang tahun hadapan berbanding RM32 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Radzali Hassan, berkata sasaran KDNK itu dijangka berjaya dicapai menerusi peningkatan pelbagai produk eksport ke pasaran luar negara.

“Kita mempunyai kira-kira 66 produk yang telah dibawa keluar negara setakat hari ini. Kalau melihat kepada jumlah anggota MFA itu sendiri tidaklah begitu ramai tetapi dari segi pencapaian perkembangan perniagaan mereka, adalah sangat memberangsangkan di mana kita mempunyai kira-kira 4,200 kedai di luar negara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga yakin industri francais tempatan masih mampu mencatatkan prestasi baik pada tahun ini meskipun dalam situasi ekonomi global tidak menentu pada ketika ini.

“Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada peningkatan bagi transaksi jualan yang dicatatkan MFA melalui penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2019 (FIM2019) dan pertambahan bilangan ahli MFA.

“Saya gembira kerana industri francais negara masih mencatatkan corak pertumbuhan yang baik dan saya menyeru ahli MFA serta syarikat perniagaan yang berminat untuk mengambil peluang bagi menjalankan perniagaan dalam bidang ini,” katanya pada sidang media Anugerah Francais Malaysia (AFM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran FIM 2019 lalu menyaksikan MFA berjaya mencatatkan peningkatan transaksi jualan kepada RM452 juta berbanding RM410 juta pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, bilangan ahli MFA juga mencatatkan pertambahan kepada hampir 400 ahli berbanding 370 ahli sebelum ini.

Sementara itu, MFA menyasarkan 60 ahlinya akan menyertai AFM kali ke-22 pada 4 Oktober ini bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Radzali berkata, terdapat enam kategori utama akan dipertandingkan pada anugerah membabitkan 17 kategori seperti Kategori Utama - Francais Terbaik, Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi dan Kategori Terbuka.

“Pihak jawatankuasa memperkenalkan beberapa kategori anugerah baharu iaitu kategori terbuka yang membabitkan Anugerah Rancangan Perniagaan Francais Siswa Terbaik dan kategori media yang terbahagi kepada dua iaitu Anugerah Wartawan Terbaik dan Anugerah Penulisan Artikel Industri Francais Terbaik,” katanya.

AFM kali ke-22 ini terbuka kepada semua ahli MFA dengan tarikh tutup pencalonan pada 19 Julai 2019.

Anugerah itu mula diadakan pada 1997 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada usahawan francais yang menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi sumbangan kepada pertumbuhan industri francais negara.

Berita Harian X