Rabu, 19 Jun 2019 | 12:35pm
MOHD Redzuan Yusof

PKS tempatan disepadukan dalam rangkaian bekalan aeroangkasa global

KUALA LUMPUR: Paris Airshow 2019 memberi peluang untuk menyepadukan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) ke dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang berada di ibu negara Perancis untuk acara itu, berpeluang membabitkan diri dengan Persatuan Syarikat-syarikat Aeroangkasa Jepun (SJAC) dan Persekutuan Industri Aeroangkasa Mexico (FEMIA).

Cadangan itu adalah antara isi perbincangan beliau bersama syarikat penerbangan aeroangkasa Perancis, Thales Group, bagi menjalin sinergi dengan PKS Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berkata, perbincangan dengan Thales antara lain berhubung bagaimana PKS tempatan dalam rantaian bekalan, dapat memanfaatkan perkembangan terkini dalam Industri 4.0, khususnya melalui program kesimbangan.

"Pembabitan ini penting bagi MED dan SME Corporation Malaysia untuk merancang dan melaksanakan pendekatan menyeluruh bagi membangun, membantu dan menyokong PKS tempatan dalam industri aeroangkasa," katanya.

Perbincangan dengan SJAC dan FEMIA memberi tumpuan kepada usaha sama berpotensi dari segi teknologi dan digitalisasi, pembangunan rantaian bekalan peringkat PKS serta tenaga kerja berkemahiran tinggi, penggunaan platform digital yang seragam untuk PKS Malaysia, serta menaik taraf keupayaan PKS dalam keselamatan siber bagi platform pertukaran data selamat. - BERNAMA

Berita Harian X