Selasa, 11 Jun 2019 | 4:48pm

Risiko hutang isi rumah Malaysia berkurangan

KUALA LUMPUR: Risiko hutang isi rumah Malaysia dilihat berkurangan, namun bank kekal berdepan beberapa ketidaktentuan berikutan pendedahan terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan pinjaman peribadi, demikian mengikut pandangan Fitch Ratings.

Agensi penarafan terkemuka antarabangsa itu berkata, sektor isi rumah mewakili 58 peratus daripada pinjaman kasar bank, dengan 37 peratus daripadanya membabitkan peminjam berpendapatan rendah iaitu mereka yang berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

Ia berkata, peminjam seperti itu lazimnya mempunyai aset penampan yang terhad untuk mengekang risiko kegagalan, manakala pendedahan bank terhadap mereka cenderung selamat, nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) boleh menjadi tinggi, melemahkan prospek pemulihan.

“Kira-kira 28 peratus keseluruhan pinjaman bank (di Malaysia) mempunyai nisbah LTV lebih 80 peratus,” katanya dalam laporannya bertajuk “Bank Malaysia: Hutang Isi Rumah”.

Fitch Ratings berkata, pendapatan isi rumah kekal penting untuk menyokong kapasiti perkhidmatan hutang mereka dan aktiviti ekonomi yang lebih meluas.

Ia berkata, ekuiti nisbah Peringkat 1 sistem perbankan berada pada paras 13.5 peratus pada akhir April 2019, yang mana ia mencadangkan kapasiti penyerapan kerugian yang kukuh sekiranya berdepan tekanan berpotensi.

Agensi penarafan itu juga percaya bahawa standard pemberian pinjaman bank untuk isi rumah kekal kukuh secara meluas sejak pengawal selia mengambil langkah pengetatan sejak 2010-2013.

“Kami jangka disiplin ini akan berterusan, tetapi kami kekal memantau sebarang pelonggaran dalam standard yang boleh menyebabkan risiko meningkat sekali lagi,” katanya.

Berita Harian X