Isnin, 3 Jun 2019 | 8:39am

IATA turunkan unjuran untung industri pengangkutan udara

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menurunkan prospek keuntungan industri pengangkutan udara global bagi 2019 kepada AS$28 bilion (AS$1 = RM4.18) daripada unjuran AS$35.5 bilion yang dibuat Disember 2018, susulan permintaan yang semakin lembap dan peningkatan kos.

Ia juga adalah penurunan keuntungan selepas cukai bersih 2018 yang dianggarkan IATA pada AS$30 bilion (yang dinyatakan semula).

IATA berkata, persekitaran perniagaan syarikat penerbangan merosot berikutan kenaikan harga bahan api dan kelemahan perdagangan dunia yang ketara.

Pada 2019, kos keseluruhan dijangka meningkat sebanyak 7.4 peratus, melebihi kenaikan perolehan sebanyak 6.5 peratus. Akibatnya, marjin bersih dijangka susut kepada 3.2 peratus daripada 3.7 peratus pada 2018.

Keuntungan ke atas setiap penumpang juga berkurangan kepada AS$6.12 daripada AS$6.85 pada 2018.

“Tahun ini akan menjadi tahun ke sepuluh berturut-turut industri penerbangan mencatatkan keuntungan namun marjin mengalami tekanan ekoran peningkatan kos dalam semua aspek, termasuk tenaga kerja, bahan api, dan infrastruktur. Persaingan sengit dalam kalangan syarikat penerbangan terus mengekang kenaikan perolehan.

“Kelemahan perdagangan global mungkin berterusan memandangkan perang perdagangan AS-China semakin memuncak. Ini memberi kesan negatif terutamanya kepada perniagaan kargo, malah trafik penumpang juga boleh terjejas apabila krisis itu meningkat,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan katanya, masih akan mencatatkan keuntungan tahun ini, tetapi dalam keadaan yang sukar,

Pada 2019, pulangan ke atas modal dilaburkan yang diperoleh daripada syarikat penerbangan dijangka sebanyak 7.4 peratus, turun daripada 7.9 peratus pada 2018.

Walaupun ia masih melebihi kos modal purata (dianggarkan pada 7.3 peratus), penampan katanya adalah sangat kecil.

Selain itu, usaha meningkatkan daya tahan kewangan di seluruh industri hanya separuh lengkap dengan jurang besar keuntungan antara prestasi syarikat penerbangan di Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik, dan prestasi syarikat di Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.

IATA, yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan merangkumi 82 peratus trafik udara global, berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik akan merekodkan keuntungan bersih AS$6.0 bilion pada 2019, susut daripada AS$7.7 bilion pada 2018. - BERNAMA

Berita Harian X