Selasa, 28 Mei 2019 | 6:53pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tertarik dengan ayat ‘Malaysia Chicken Rice Is Better’ ketika melawat ruang kerja selepas merasmikan pejabat Facebook di Q Sentral 2, hari ini. - Foto BERNAMA

PKS disaran guna inisiatif media sosial

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil peluang inisiatif yang disediakan penyedia platform media sosial seperti Facebook dalam memperluaskan perniagaan mereka secara dalam talian dan menembusi pasaran global.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata PKS adalah sektor penting dalam meningkatkan ekonomi negara dan melalui peluang teknologi yang disediakan ia dapat memastikan perniagaan menjadi lebih berkesan.

Beliau berkata, ia sekaligus akan meningkatkan produktiviti dan pengeluaran serta lonjakan gaji minimum.

“Bagi PKS, ia boleh menjadi daya tarikan memiliki beribu kenalan di Facebook yang sekaligus akan membawa kepada lonjakan trafik ke tapak laman web atau lokasi runcit.

“Kerajaan juga sentiasa menggalakkan dan memberi insentif kepada pelaburan serta kerjasama dalam menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatan dan komunikasi digital.

“Di samping itu, kerajaan juga menggalakkan syarikat Malaysia meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang ini dengan bekerjasama dengan firma multinasional dalam usaha kita menjadi juara serantau atau global,” katanya pada ucaptama ketika merasmikan pejabat Facebook Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak; Naib Presiden Facebook Asia Pasifik, Dan Neary dan Pengarah Negara Facebook Malaysia, Nicole Tan.

Dr Mahathir berkata, kerajaan komited untuk bergerak ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada ekonomi digital dalam membantu rakyat berkomunikasi dan terus berhubung serta melihat perniagaan tempatan bersaing secara positif menjadi jenama global.

Kedua-dua syarikat besar dan kecil katanya perlu mengambil peluang sambungan digital, menggunakan data analisis dan kemahiran digital untuk meneroka peluang bagi membina perniagaan digital.

Penduduk Malaysia antara pengguna aktif Facebook dengan pada 2016, sebanyak 18 juta rakyat Malaysia aktif di Facebook setiap bulan, bersamaan sekitar 81 peratus rakyat Malaysia di Internet.

94 peratus pengguna Facebook Malaysia menemui produk dan jenama di Facebook dengan 62 peratus membuat pembelian selepas penemuan itu.

Sehingga Mac 2019, bilangan pengguna aktif Facebook di Malaysia meningkat kepada 26 juta.

Berita Harian X