Selasa, 14 Mei 2019 | 3:37pm
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari. - Foto NSTP
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari. - Foto NSTP

Yayasan Hasanah komited tingkat taraf hidup B40

KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) komited untuk meningkatkan taraf hidup kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) melalui pemerkasaan pembangunan komuniti.

Pengarah Urusan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari, berkata pemerkasaan itu melalui pelbagai bidang dan teras tetapi antara tumpuan utama yayasan itu kini adalah meningkatkan taraf hidup usahawan kecil wanita.

“Hasanah menyalurkan dana kepada program Women of Will (WOW) bagi memberi pinjaman kredit mikro kepada golongan usahawan kecil wanita terpilih.

“Bagi 2018 kami sudah membantu sebanyak 200 usahawan kecil wanita dalam pemberian pinjaman kredit mikro ini dan ia akan diteruskan lagi tahun ini dengan jumlah sasaran yang sama.

“Ia sebahagian daripada agenda besar Hasanah bagi pembangunan komuniti dan meningkatkan taraf hidup,” katanya selepas taklimat media Hasanah di sini, hari ini.

Shahira berkata, bagi tahun ini, pihaknya menyediakan pembiayaan RM120 juta bagi teras fokusnya iaitu pendidikan; pembangunan komuniti; alam sekitar; seni, warisan dan budaya serta ilmu pengetahuan.

Bagi 2018, Hasanah membelanjakan sebanyak RM127.6 juta bagi fokus kerja terasnya itu dengan pendidikan menjadi keutamaan utamanya.

Sehingga kini, Shahira berkata, yayasan itu sudah membantu meningkatkan taraf kehidupan dan sosial sebanyak 360,000 penerima.

“Pada tahun lalu Hasanah menjalankan 52 projek dengan 40 rakan kongsi dan menjelang 2020, kami menyasarkan dapat menjalankan 69 buah projek dengan kerjasama 51 rakan kongsi,” katanya.

Berita Harian X