Selasa, 14 Mei 2019 | 3:21pm

SC terbit panduan amalan kesinambungan perniagaan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Prinsip Panduan Bagi Pertingkat Amalan Kesinambungan Perniagaan bagi entiti pasaran modal, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan daya tahan sistemik pasaran modal.

SC berkata, prinsip itu menggariskan jangkaan SC terhadap pendekatan pengurusan kesinambungan perniagaan entiti pasaran modal untuk memastikan kesinambungan yang wajar perkhidmatan kritikal dan pelaksanaan obligasi perniagaan sekiranya berlaku sebarang gangguan.

“Pendekatan pengurusan kesinambungan peniagaan komprehensif juga akan membantu mengurangkan sebarang kemungkinan timbulnya implikasi risiko sistemik lebih meluas terhadap pasaran modal, memandangkan perubahan pesat dalam landskap pasaran.

Prinsip berkenaan yang dibangunkan selepas rundingan dengan pihak industri, menggariskan enam bidang tumpuan, termasuk anggota lembaga dan pengurusan kanan bertanggungjawab dalam memastikan kesinambungan perniagaan yang mantap dan berkesan dan mengenal pasti risiko gangguan operasi, terutamanya risiko kebergantungan dan penumpuan.

Ia juga termasuk membangunkan strategi pemulihan berasaskan risiko; ujian tahunan bagi memastikan pelaksanaan amalan pasaran berterusan dan penyelenggaraan yang kerap dan menyemak aturan kesinambungan perniagaan, prosedur penyampaian maklumat dan pelan komunikasi yang komprehensif bagi menangani risiko reputasi daripada gangguan operasi utama.

“Entiti pasaran modal digalakkan untuk mengguna pakai dan melaksanakan prinsip berkenaan, yang bertindak sebagai amalan terbaik, berpandukan jenis, saiz dan kerumitan operasi perniagaan mereka,” katanya.

Prinsip berkenaan boleh didapati di www.sc.com.my.

Berita Harian X