Selasa, 7 Mei 2019 | 2:16pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - Foto Luqman Hakim Zubir

China cadang bina 100,000 rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Malaysia akan bekerjasama dengan beberapa syarikat China untuk membina sehingga 100,000 unit rumah mampu milik pada tahun ini bagi menampung keperluan rakyat berpendapat rendah.

Untuk tujuan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sudah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat China ketika menghadiri ‘Second Belt and Road Forum for International Cooperation’ (BRF Kedua) di Beijing, China baru-baru ini.

Wakil kementerian itu ketika dihubungi BH berkata, MoU berkenaan ditandatangani antara Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dengan China Energy Co Ltd; China Export & Credit Insurance Corporation (SINOSURE); KKIBS-CRECM JV; China Rainbow International Investment Co Ltd (CRIICL) dan Shaanxi Coal & Chemical Industry Construction (Group) Co Ltd (SCHCIG); Jiangsu Provincial Construction Group Co, Ltd (JPCG) dan Kava International Group Ltd (KIG); SANY Construction Industry Co Ltd.

Turut memeterai adalah PLB Engineering Bhd dan China Railway No.3 Engineering Group Co Ltd dan SRA Builder Sdn Bhd serta Splendid Forte Pte Ltd dan CRIICL dan China Construction Infrastructure Survey, Engineering Design and Construction Group Co Ltd.

Media antarabangsa yang berpangkalan di China semalam melaporkan, Zuraida berkata, syarikat berkenaan bukan sahaja menyediakan keperluan modal tetapi juga bertanggungjawab membina 100,000 unit rumah.

“Usaha berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan Kerajaan Malaysia untuk membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun.

“Dalam melaksanakan usaha itu, syarikat dari China bersedia membantu kita (Malaysia),” katanya ketika dipetik Global Times.

Menerusi MoU itu, kedua-dua negara turut beberapa perancangan termasuk langkah melaksanakan projek dengan jaminan kerajaan. Perancangan itu dijangka dapat dicapai dalam tempoh dua bulan, selepas projek pembinaan Bandar Malaysia bermula.

Kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 100,000 rumah itu akan dibangunkan di Bandar Malaysia.

Mengulas mengenai ‘penggantungan projek’ dari China sebelum ini, Zuraida berkata, ia berlaku disebabkan kerajaan perlu mengkaji semula projek berkenaan.

“Kami menggantung (projek China) kerana kita baharu mengambil alih kerajaan. Oleh itu, selepas ambil alih, kita perlu mengkaji semula projek berkenaan.

“Selepas kajian menyeluruh dibuat, kami mendapati projek dari China boleh dipercayai dan syarikat mereka berkeupayaan menjalankan projek berkenaan,” katanya.

Katanya, sebagai usaha menjimatkan kos pembinaan, rumah terbabit akan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan harga yang ditawarkan bagi setiap unit tidak lebih daripada RM300,000.

“Kita juga turut mencadangkan skim sewa beli hartanah ‘Rent-To-Own’ (RTO), yang mana orang yang menyewa selepas tempoh lima hingga enam tahun mempunyai pilihan untuk membeli kediaman itu. Sekurang-kurangnya, 30 peratus daripada rumah berkenaan menggunakan kaedah RTO.

“Justeru, syarikat China juga akan memperoleh semula pelaburan mereka dengan faedah minimum lima tahun selepas selesai pembinaan,” katanya.

Selain itu, Zuraida juga dipetik berkata, Malaysia juga sedang berusaha meningkatkan pelaburan China ke Malaysia menerusi infrastruktur termasuk mempertimbangkan untuk mendapatkan Huawei dalam membangunkan bandar pintar negara.

Beliau turut menegaskan, kerjasama Malaysia dan China bukan dianggap sebagai ‘perangkap hutang’ sebaliknya ia akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan menerusi projek yang dijalankan.

“Ada ketika orang ramai tidak mempunyai gambaran jelas mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), jadi mereka bimbang China akan melabur di negara ini dan mengambil ‘sesuatu’ dari Malaysia.

“Ini adalah persepsi salah. Kini, kita sudah memahami BRI iaitu China ingin berkongsi pengetahuan mereka ke negara lain dan sedia membantu. Ini bukan semata-mata perniagaan, tetapi turut membabitkan pemindahan dan perkongsian maklumat,” katanya.

Berita Harian X