Isnin, 6 Mei 2019 | 3:25pm

'Jangan biarkan lembaga pengarah dikuasai satu kaum'

Oleh Mahanum Abdul Aziz dan Che Wan Badrul Alias

bhbiz@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Syarikat senaraian awam digesa tidak menjadikan lembaga pengarah mereka sebagai ‘lubuk’ individu berpencen atau dimonopoli oleh satu bangsa.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata bagi memastikan tadbir urus korporat yang lebih baik, kepelbagaian perlu dilaksanakan tidak hanya tertumpu di peringkat lembaga pengarah tetapi juga kepelbagaian dalam kepimpinan dan pengurusan tertinggi syarikat.

Katanya, syarikat senaraian awam perlu mempromosikan dan menerapkan kepelbagaian dalam kepimpinan dan pengurusan tertinggi secara menyeluruh bukan hanya terhadap kepelbagaian jantina, tetapi juga kepelbagaian usia dan etnik.

“Saya mengamati CG Monitor (laporan Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2019) yang menyatakan 24 peratus pengarah bebas berkhidmat lebih sembilan tahun dengan tempoh paling lama adalah 40 tahun.

“Seperti saranan CG Monitor, lembaga pengarah sepatutnya mengambil peluang untuk memberi nafas baharu dalam komposisinya untuk berdepan cabaran masa depan.

“Dalam usaha menggalakkan kepelbagaian pada masa depan, kita perlu beralih daripada lembaga pengarah yang sepenuhnya terdiri daripada orang pencen atau hanya satu kaum, seperti mana kita beralih daripada lembaga pengarah dianggotai lelaki semuanya,” katanya pada pelancaran CG Monitor di sini, hari ini.

Ucapan Guan Eng dibacakan dan disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua.

Pengarah Belanjawan Negara di Kementerian Kewangan dan Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti, Johan Mahmood Merican, berkata urus tadbir korporat yang baik akan mencerminkan komposisi komuniti dan masyarakat di negara ini.

Katanya, ia penting kerana Malaysia memiliki kepelbagaian semula jadi kaum dan etnik justeru kehadiran komposisi yang pelbagai dalam lembaga pengarah akan menambah nilai dalam urus tadbir syarikat.

“Kepelbagaian tidak terhad kepada jantina semata-mata kerana jika kita meraikan kejayaan keluar daripada dominasi lelaki dalam lembaga pengarah, pada masa depan akan tiba masanya kita akan raikan tiada lagi lembaga pengarah yang hanya tertumpu pada satu-satu usia atau di dominasi satu etnik,” katanya.

Berita Harian X