Isnin, 6 Mei 2019 | 1:11pm
PENGERUSI Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar. - Foto BERNAMA
PENGERUSI Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar. - Foto BERNAMA

SC kaji langkah cegah rasuah syarikat senaraian awam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengkaji semula langkah pencegahan  rasuah syarikat senaraian awam sebagai usaha menyokong Pelan Anti Rasuah Kebangsaan.

Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar, berkata hasil kajian semula itu akan diumumkan ke dalam Laporan "Corporate Governance Monitor" edisi 2020 yang dikeluarkan pengawal selia pasaran modal tempatan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat kepada nisbah pendapatan pengurusan utama syarikat senaraian awam sejajar dengan pengumuman dalam Belanjawan 2019.

"Hasilnya juga akan dimasukkan dalam edisi 2020 Corporate Governance Monitor," katanya pada pelancaran Laporan Corporate Governance Monitor 2019 (CG Monitor 2019) di sini, hari ini.

Pelancaran laporan itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua bagi pihak Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Laporan julung kali dikeluarkan SC itu menampilkan tahap penerimaan positif terhadap kebanyakan amalan terbaik yang dicadangkan dalam Kod Tadbir Urus Malaysia melalui peningkatan dalam kualiti pendedahan oleh syarikat senaraian awam.

CG Monitor 2019, mengetengahkan pemerhatian kepada tiga kajian tematik membabitkan pengarah bebas yang sudah lama berkhidmat, kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah dan imbuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 100 syarikat senaraian awam terkemuka.

Sementara itu, Guan Eng dalam ucapannya yang dibacakan oleh Pua berkata, semua pihak perlu bekerjasama dengan SC dalam mencapai tolenransi sifar untuk rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Beliau berkata, pihaknya gembira dengan langkah SC untuk menyemak semula langkah pencegahan rasuah syarikat senaraian awam yang akan dimasukkan ke dalam CG Monitor 2020.

Berita Harian X