Isnin, 6 Mei 2019 | 11:04am

Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah meningkat

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kemajuan kukuh dari segi kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah membabitkan syarikat senaraian awam meskipun tanpa kuota wajib dilaksanakan.

Kemajuan yang dicatatkan dalam kepelbagaian jantina membabitkan lembaga pengarah itu dicapai menerusi gabungan keperluan pendedahan wajib; amalan terbaik dan usaha secara bersama oleh pemegang kepentingan termasuk kerajaan, pengawal selia, pemegang saham dan penyokong tadbir urus.

Laporan "Corporate Governance Monitor 2019" yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menunjukkan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah bagi 100 syarikat senaraian awam terkemuka di Pasaran Utama Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan tujuh peratus kepada 23.68 peratus pada Disember 2018 berbanding 16.6 peratus pada Disember 2016.

Jumlah penyertaan wanita juga meningkat membabitkan semua syarikat senaraian awam di negara ini kepada 15.69 peratus pada 2018 berbanding 12 peratus yang dicatatkan pada 2016.

Justeru, SC percaya, sasaran mempunyai 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah membabitkan 100 syarikat senaraian awam terkemuka menjelang 2020 mampu dicapai memandangkan paras penyertaan kini pada paras 23.7 peratus.

Perangkaan yang dikaji SC juga menunjukkan usaha meningkatkan kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah juga memberi kesan kepada keseluruhan kepelbagaian lembaga pengarah mengikut umur.

Pada 2018, wanita mewakili 25 peratus perlantikan ahli lembaga pengarah baharu dan 41 peratus wanita yang dilantik itu berumur di bawah 50 tahun, sementara 10 peratus di bawah 40 tahun.

Pengarah wanita berumur di bawah 40 tahun kebanyakannya memegang jawatan eksekutif dalam lembaga pengarah syarikat senaraian awam membabitkan sektor produk perindustrian dan perkhidmatan dan sektor produk pengguna dan perkhidmatan.

SC percaya jika peratusan wanita terus meningkat dalam kalangan kumpulan umur muda, justeru ia boleh menyokong penerusan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah.

Setakat 31 Jun 2018, wanita juga mewakili 28 peratus jawatan pengurusan kanan dalam semua syarikat senaraian awam.

Berita Harian X