Rabu, 10 April 2019 | 6:34pm

Kontraktor tempatan bakal raih kontrak RM10.5 bilion ECRL

KUALA LUMPUR: Kontraktor tempatan dianggarkan mendapat kontrak bernilai RM10.5 bilion bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika kos pembinaannya dikurangkan kepada RM35 bilion, demikian mengikut JP Morgan.

Nilai kontrak itu berdasarkan kepada peruntukan sebanyak 30 peratus kepada kontraktor tempatan seperti yang diumumkan terdahulu.

Bank pelaburan multinasional itu berkata, pelaksanaan semula projek ECRL, walaupun pada kos yang lebih rendah, jika dijalankan akan memberikan peningkatan positif kepada sektor pembinaan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, sektor itu mengalami kekurangan kontrak pembinaan disebabkan kekangan fiskal kerajaan.

Berdasarkan laporan media tempatan, kerajaan kini sedang berunding untuk mengurangkan kos pembinaan ECRL dari RM81 bilion kepada RM34.4 bilion hingga RM41.3 bilion dan ia dijangka dimuktamadkan pada bulan ini.

“IJM Corp Bhd (IJM) dijangka bakal mendapat manfaat besar jika projek itu diteruskan, kerana IJM turut memiliki 60 peratus kepentingan dalam Pelabuhan Kuantan termasuk 700 ekar tanah perindustrian berhampiran pelabuhan itu.

“Jika IJM mendapat RM1 bilion daripada kontrak ECRL, ia bakal menambah 3.3 peratus kepada pendapatannya. Bagi Gamuda Bhd pula, setiap RM1 bilion dari projek ECRL itu pula akan menambah 1.9 peratus pendapatannya.

“Bagi WCT Holdings Bhd, setiap pertambahan buku tempahan sebanyak RM1 bilion akan membawa kepada sembilan peratus

peningkatan pendapatan.

“Secara realistik, kita tidak menjangkakan sebarang pertambahan buku pesanan kerana projek-projek itu mungkin dalam bahagian kecil,” katanya dalam nota penyelidikannya mengenai sektor pembinaan Malaysia.

JP Morgan berkata, syarikat yang terdedah dengan pembatalan atau penerusan projek ECRL dari segi operasi dan kewangan adalah MRCB, Gabungan AQRS, HSS Engineers (kejuruteraan / reka bentuk), Sunway Construction, Fajarbaru Builder, Ekovest, TRC Synergy, Gadang, Mudajaya, TSR Capital, Ahmad Zaki, UEM Construction Sdn Bhd, Econpile, Pintaras Jaya, Ihkmas Jaya dan EITA (sistem).

Sementara bagi kontrak berkaitan simen dan keluli pula, Lafarge, Tasek Corp, Lion Industries, Ann Joo Resources,

dan Southern Steel antara yang berpotensi mendapat manfaat dari projek itu.

Lafarge Malaysia sebagai contoh memperoleh kontrak bekalan simen dari China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd sebanyak RM270 juta yang mewakili 12 peratus daripada jangkaan pendapatannya bagi 2019 dan ia terdedah dengan risiko jika projek ECRL dibatalkan.

Projek itu juga berkemungkinan besar akan membabitkan landasan tunggal atas rekaan trek dwiformasi berbanding landasan berkembar.

Antara agenda lain dalam rundingan itu termasuk komitmen China membeli minyak kelapa sawit dari Malaysia, dan untuk membawa pelaburan ke Malaysia bagi sektor perkilangan serta teknologi tinggi.

“Projek ECRL yang dianugerahkan kontraknya kepada China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd adalah sebahagian daripada inisiatif Belt and Road China,” katanya dalam nota penyelidikannya mengenai sektor pembinaan Malaysia.

Berita Harian X