Jumaat, 5 April 2019 | 8:19am

Permintaan penumpang sederhana pada Februari - IATA

KUALA LUMPUR: Jumlah jarak perjalanan oleh penumpang berbayar juga dikenali sebagai Perolehan Penumpang Setiap Kilometer (RPK) berkembang 5.3 peratus tahun-ke-tahun pada Februari 2019, kadar pertumbuhan paling perlahan bagi tempoh melebihi setahun, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagaimanapun, IATA dalam kenyataan berkata ia sejajar aliran permintaan bagi jangka panjang.

Kapasiti bulanan (tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer atau ASK) pula meningkat 5.4 peratus, manakala faktor muatan menyusut 0.1 mata peratusan kepada 80.6 peratus yang dilihat sebagai masih tinggi, kata persatuan itu.

“Selepas prestasi kukuh pada Januari, angka Februari rendah sedikit selari dengan kebimbangan berhubung unjuran ekonomi secara menyeluruh.

Ketegangan perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta ketidakpastian terhadap Brexit yang masih tidak diselesaikan turut mempengaruhi unjuran bagi perjalanan,” menurut Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac.

Menurut IATA, permintaan penumpang antarabangsa pada Februari naik 4.2 peratus berbanding Februari 2018, iaitu lebih rendah berbanding pertumbuhan 5.9 peratus pada Januari.

Kapasiti menokok 5.1 peratus, manakala faktor muatan merosot 0.4 mata peratusan kepada 79.5 peratus.

Syarikat penerbangan di seluruh rantau tetapi di Timur Tengah menyaksikan pertumbuhan trafik berbanding tahun lalu, kata IATA yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan yang menyumbang 82 peratus trafik udara global.

Trafik penerbangan di Asia Pasifik meningkat 4.2 peratus tahun-ke-tahun pada Februari, penyusutan ketara berbanding peningkatan 7.2 peratus pada Januari.

Sementara itu, permintaan perjalanan domestik meningkat 6.4 peratus pada Februari berbanding bulan sama tahun sebelumnya, menyusut daripada pertumbuhan tahunan 7.4 peratus pada Januari, menurut IATA.

Semua pasaran kecuali Australia melaporkan kenaikan trafik dengan India mencatatkan peratusan pertumbuhan dua angka bagi bulan ke 54 berturut-turut.

Kapasiti domestik menokok 5.8 peratus dan faktor muatan naik 0.5 mata peratusan kepada 82.4 peratus. - BERNAMA

Berita Harian X