Rabu, 27 March 2019 | 6:03pm
INFOGRAFIK permulaan gaji pokok bagi pekerja tanpa pengalaman dari 2010-2018.

Gaji permulaan siswazah makin kurang

KUALA LUMPUR: Gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di negara ini menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi.

Siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, gaji benar pemegang ijazah sarjana muda adalah RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010, manakala pemegang ijazah sarjana memperoleh gaji benar RM2,707, penurunan ketara daripada gaji sebanyak RM2,923 pada 2010, demikian mengikut Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata, bukti yang ada menunjukkan kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan mungkin adalah faktor penting dalam isu berkenaan.

Antara 2010 hingga 2017, kata bank pusat itu, bilangan pemegang diploma dan ijazah dalam tenaga kerja secara purata meningkat sebanyak 173,457 orang setahun.

“Jumlah itu, jauh lebih tinggi daripada pertambahan guna tenaga bersih dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi, iaitu 98,514 orang setahun.

“Keadaan itu menunjukkan ekonomi negara tidak mewujudkan jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan.

“Di samping itu, kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah juga mendapati 95 peratus pekerja muda berada dalam kategori pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran manakala 50 peratus pekerja yang membuat pekerjaan berkemahiran rendah secara manual mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh jenis pekerjaan sedemikian,” katanya dalam laporan berkenaan.

Oleh itu, katanya, walaupun berpendidikan tinggi, pekerja terpaksa menerima atau membuat pekerjaan yang lazimnya tidak memerlukan tahap pendidikan tinggi sedemikian.

“Akibatnya, dengan bekalan siswazah yang lebih daripada mencukupi dan permintaan syarikat untuk siswazah yang tidak banyak berubah, gaji siswazah terus menghadapi tekanan menurun.

“Menariknya, keadaan berkenaan jelas berlawanan dengan keadaan yang dihadapi oleh rakan setara mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi,” katanya.

Laporan itu menyebut, pelaksanaan upah minimum menyokong peningkatan gaji pekerja berkemahiran lebih rendah dalam tahun kebelakangan ini lantas membolehkan gaji permulaan pekerja berpendidikan rendah yang lebih setara berbanding pekerja berpendidikan tinggi.

Sementara gaji permulaan siswazah dalam nilai benar menurun, ia berkata, gaji permulaan benar bagi pekerja berkelulusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-masing meningkat sebanyak 4.6 peratus dan 2.3 peratus.

Perbezaan dalam trend pertumbuhan merentas tahap pendidikan itu, jelasnya, menunjukkan fenomena yang lebih serius, iaitu premium pendapatan untuk tahap pendidikan pekerja di Malaysia telah mengecil.

“Sekiranya fenomena ini tidak ditangani, golongan penduduk muda kurang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mungkin juga memburukkan lagi isu ‘brain drain’ (penghijrahan golongan profesional ke luar negara) yang dihadapi oleh Malaysia,” katanya.

Berita Harian X