Rabu, 27 March 2019 | 5:03pm

Pendapatan isi rumah rendah punca sukar bayar balik pinjaman

KUALA LUMPUR: Risiko hutang isi rumah dijangka berterusan dalam kalangan peminjam yang punyai beban hutang yang tinggi, mengambil pinjaman untuk membeli hartanah bernilai tinggi dan juga pinjaman peribadi, demikian mengikut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018, berkata selain itu, peminjam yang tidak berpendapatan tetap serta mereka yang berpendapatan rendah dan tinggal di kawasan bandar juga mungkin berdepan cabaran yang lebih besar untuk membayar balik hutang.

“Kira-kira separuh daripada jumlah terkumpul bagi pembiayaan peribadi terdiri daripada peminjam berpendapatan kurang RM5,000 sebulan. Bahagian pembiayaan peribadi kepada jumlah peminjaman mereka berada pada 26.6 peratus iaitu hampir dua kali peminjam biasa.

“Pembiayaan peribadi terutamanya bagi tujuan penggunaan, iaitu lebih satu pertiga daripada untuk perbelanjaan bukan keperluan bagi menyokong pilihan gaya hidup, seperti pembelian barangan tahan lama, majlis perkahwinan dan musim perayaan,” katanya.

BNM berkata, hampir separuh daripada pembiayaan peribadi turut digunakan bagi pengumpulan aset, terutama bagi pembayaran pendahuluan pembelian rumah dan tujuan perniagaan.

“Yang nyata, dalam kalangan peminjam bermasalah yang mempunyai pembiayaan peribadi menggunakan pinjaman itu untuk pengubahsuaian rumah.

“Memandangkan peningkatan nilai rumah daripada perbelanjaan itu tidak selalunya sepadan dengan jumlah yang dibelanjakan bagi pengubahsuaian, peminjam yang memiliki hutang tinggi mungkin berada dalam kedudukan ekuiti negatif dengan beban hutang yang tidak mampu dibayar,” katanya.

Katanya, peminjam yang membuat pinjaman perumahan bagi pembelian harta tanah melebihi RM500,000 dan berdepan ketidaktentuan pendapatan juga berdepan kesukaran untuk membayar balik hutang.

Sementara itu, bank pusat itu berkata, inisiatif kerajaan dijangka mengurangkan sebahagian tekanan kos sara hidup sementara prospek pendapatan dan guna tenaga yang stabil serta amalan pemberian pinjaman bertanggungjawab akan terus menyokong keupayaan membayar balik hutang isi rumah.

“Pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi, harga siling bagi bahan api runcit dan pemberian tunai melalui Bantuan Sara Hidup akan memberikan sedikit sokongan kepada isi rumah berpendapatan lebih rendah,” katanya.

Selain itu, BNM berkata, meskipun hutang isi rumah kekal tinggi, risiko kepada kestabilan kewangan telah dikurangkan menerusi langkah berhemat makro semasa yang dilaksanakan sejak 2010 yang mana mendorong kadar pertumbuhan hutang isi rumah lebih mampan.

“Kira-kira dua pertiga daripada peminjaman isi rumah dicagarkan kepada harta tanah atau sekuriti, membantu mengurangkan dedahan bersih institusi kewangan kepada isi rumah dengan ketara.

“Bank juga kekal mematuhi amalan pemberian pinjaman dan pengurusan risiko berhemat, dengan melaksanakan penilaian kemampuan pinjaman bagi mengelakkan peningkatan isi rumah berlebihan,” katanya.

Berita Harian X