Rabu, 27 March 2019 | 5:00pm

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.3-4.8 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.3 peratus–4.8 peratus bagi 2019, disokong pemulihan beransur-ansur daripada gangguan dalam sektor komoditi yang di luar jangkaan pada tahun lalu.

Pemulihan itu juga dijangka memberikan manfaat kepada sektor perkilangan dan aktiviti perdagangan, demikian mengikut Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM).

Dari segi permintaan, ia berkata perbelanjaan sektor swasta akan terus memacu pertumbuhan, sementara perbelanjaan isi rumah akan terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan pendapatan dan guna tenaga yang berterusan.

"Berdasarkan kaji selidik terhadap majikan, kenaikan gaji dijangka kekal antara 4.9 peratus–5.2 peratus pada 2019, manakala kadar pengangguran secara relatif diunjurkan tidak berubah, 3.3 – 3.5 peratus berbanding 3.4 peratus pada 2018.

"Beberapa langkah dasar, seperti penetapan harga siling bagi harga runcit bahan api, kenaikan upah minimum dan pindahan tunai bersasaran, akan menambah sokongan kepada perbelanjaan isi rumah," katanya.

BNM berkata, unjuran pertumbuhan, bagaimanapun, akan dipengaruhi oleh beberapa risiko yang boleh menyebabkan pertumbuhan menjadi lebih rendah, terutamanya risiko yang berpunca daripada perkembangan dalam persekitaran global.

Ia berkata, ketegangan perdagangan yang masih belum selesai antara Amerika Syarikat (AS) dengan China, serta pertumbuhan global yang lebih perlahan daripada jangkaan, akan

memberikan kesan kepada Malaysia terutamanya menerusi saluran perdagangan dan pelaburan.

Katanya, ketidakpastian mengenai kadar pengembalian dasar monetari ke tahap yang wajar di AS boleh mengakibatkan keadaan tidak menentu yang lebih ketara dalam pasaran kewangan ekonomi sedang pesat membangun.

Harga minyak dunia yang tidak menentu juga boleh menjejaskan prestasi eksport dan pelaburan sektor perlombongan, jelasnya.

Dari segi risiko domestik pula, Bank Negara berkata, kemungkinan berulangnya gangguan ke atas bekalan komoditi, yang sebahagiannya disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak boleh dijangka, boleh menjejaskan pemulihan dalam sektor perlombongan dan pertanian.

Selain itu, ia berkata, keadaan bekalan yang berlebihan dalam pasaran hartanah boleh melembapkan aktiviti dalam sektor pembinaan.

Mengenai inflasi, Bank Negara berkata, inflasi keseluruhan dijangka berpurata antara 0.7 – 1.7 peratus pada 2019.

Unjuran itu, katanya, mengambil kira kesan pindahan daripada faktor kos domestik yang meningkat.

"Asas yang kukuh dan kepelbagaian struktur ekonomi Malaysia akan membantu negara untuk menghadapi risiko dan kelemahan ini sambil pada masa yang sama terus memastikan keadaan makroekonomi dan kewangan negara kekal stabil.

"Faktor berkenaan termasuk pasaran pekerja yang kukuh, kadar inflasi yang stabil, lebihan dalam akaun semasa imbangan pembayaran yang berterusan, pasaran kewangan yang mendalam serta sektor kewangan yang kukuh," katanya.

BNM berkata, kadar pertukaran yang fleksibel dan paras rizab antarabangsa yang mencukupi turut meningkatkan keupayaan ekonomi untuk bertahan daripada sebarang kejutan luaran.

Tambahan lagi, iltizam kerajaan dalam pembaharuan fiskal, struktur dan institusi akan menyumbang ke arah pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan pada masa depan, katanya.

Mengenai dasar fiskal, BNM berkata, dasar fiskal pada 2019 menyasarkan kepada pengukuhan kedudukan kerajaan dengan melaksanakan pengukuhan fiskal secara beransur-ansur, mengurangkan hutang dan liabiliti dan menggalakkan ekonomi inklusif.

Ia berkata, laluan ke arah pengukuhan fiskal dipacu oleh beberapa inisiatif pembaharuan utama dengan yang pertama kerajaan komited ke arah meningkatkan keberkesanan perbelanjaan dalam sektor awam menerusi pelaksanaan belanjawan berasaskan sifar dan pengumuman Akta Perolehan Kerajaan.

Kedua, keutamaan diberikan terhadap kepelbagaian dan meluaskan asas pendapatan, dengan pembentukan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) dan ketiga, penunuhan Pejabat Pengurusan Hutang dan pelaksanaan perakaunan akruan menjelang 2021.

Berita Harian X