Jumaat, 22 March 2019 | 5:16pm

PNB nafi terbit bon

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menafikan akan menerbitkan penjualan bon boleh tukar seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg semalam.

Menurut jurucakap pengurus dana amanah itu, sehingga hari ini, Lembaga Pengarah PNB tidak meluluskan mahupun menimbangkan mana-mana program penjualan bon boleh tukar oleh PNB.

“PNB sentiasa berterusan menilai dan meneliti pelbagai cara dan kaedah dalam meningkatkan modal untuk aktiviti pelaburan domestik dan global, termasuk instrumen hutang seperti pinjaman jangka panjang, sukuk dan bon boleh tukar.

“Bagaimanapun, bagi memaklumkan dengan lebih jelas, setakat ini Lembaga Pengarah PNB tidak meluluskan dan tidak menimbangkan program bon boleh tukar untuk diterbitkan oleh PNB.

“Kami ingin memaklumkan dengan lebih lanjut bahawa pinjaman sedia ada atau untuk masa depan, jika dilaksanakan, adalah untuk kegunaan dan hanya akan digunakan untuk portfolio proprietari PNB.

“Ia sama sekali tidak membabitkan dana unit amanah yang mana adalah dipisahkan dan berbeza daripada dana proprietari PNB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bloomberg semalam melaporkan bahawa pengurus dana milik negara terbesar di Malaysia, PNB yang memiliki lebih 10 peratus daripada pasaran saham tempatan, sedang menimbang penjualan pertama bon boleh tukar bagi mengumpul dana bagi pelaburan luar negara.

Ia meneroka semua pilihan termasuk tawaran bon boleh tukar, atau nota yang disokong saham syarikat senaraian awam, kata seorang wakil dalam maklum balas kepada pertanyaan Bloomberg.

PNB baru-baru ini meminta bank pelaburan mengemukakan cadangan bagi potensi janji niaga itu, demikian menurut sumber berpengetahuan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, jurucakap PNB berkata, operasi dan pelaburan dana saham amanah seperti Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional dikawalselia dengan ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tertakluk di bawah undang-undang SC.

Katanya, tiada pengurus dana saham amanah, termasuk PNB, dibenarkan untuk mengambil pinjaman untuk dana itu atau membebankan aset di bawah dana itu bagi sebarang tujuan.

“Justeru itu apa-apa spekulasi mengenai perkara ini adalah tidak perlu dan kebimbangan mengenai tuduhan terhadap aset unit amanah kami adalah tidak berasas.

“Kami ingin menyatakan bahawa sebagai penjaga kepada kekayaan berjuta-juta rakyat Malaysia, PNB sentiasa berpandukan mandatnya dalam melakukan semua keputusan pelaburannya dan komited kepada piawaian tertinggi dan integriti,” katanya.

Berita Harian X