Selasa, 19 March 2019 | 10:23am

Marriott akan buka 1,700 hotel

BENGALURU: Marriott International Inc merancang membuka lebih 1,700 hotel dan mengunjur meraih pulangan sehingga AS$11 bilion kepada pemegang saham menjelang 2021 sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan tiga tahunnya.

Pemilik jenama hotel mewah Ritz-Carlton dan St Regis itu juga meramalkan keuntungan tahunan dalam lingkungan AS$7.65 sesaham kepada AS$8.50 sesaham menjelang 2021, lebih tinggi berbanding purata unjuran penganalisis sebanyak AS$7.72 sesaham, demikian menurut data Refinitiv.

Marriott dikritik baru-baru ini oleh aktivis pelabur Jonathan Litt yang, menurut laporan media, meminta syarikat itu mempertimbangkan untuk merehatkan 30 jenamanya bagi membolehkannya diselaraskan secara lebih berkesan berbanding pesaing seperti Hilton Worldwide Holdings Inc.

Pembukaan 1,700 hotel menjelang 2021 bersamaan purata lebih daripada 500 hotel setahun, menambah antara 275,000 dan 295,000 bilik dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan berpotensi menjana pendapatan AS$400 juta dalam bentuk fi pada 2021.

Marriott menambah kira-kira 386 dan 440 hotel masing-masing pada 2018 dan 2017.

"Kami melihat prospek jangka sederhana baharu secara positif kerana ia menyokong kuasa meraih pendapatan menerusi pengambilalihan Starwood," kata David Katz, penganalisis di Jefferies.

"Jangkaan pulangan modal berjumlah kira-kira 25 peratus daripada permodalan pasaran dalam tempoh tiga tahun akan datang akan meningkatkan keyakinan pelabur," kata Katz.

Dalam tempoh tiga tahun itu, syarikat itu merancang membayar dividen AS$1.9 bilion hingga AS$2 bilion dan membeli balik saham bernilai AS$7.6 bilion hingga AS$9 bilion, kata Marriott.

Rantaian hotel itu mulai dipantau selepas ia terbabit dengan pelanggaran data besar membabitkan 383 juta tetamu dalam sistem tempahan hotel Starwood, yang didedahkan November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arne Sorenson, awal bulan ini meminta maaf di hadapan panel Senat Amerika Syarikat (AS) dan berjanji untuk melindungi daripada serangan masa depan.

Syarikat itu, yang mengadakan persidangan pelabur pada Isnin, menjangka pendapatan hotel yang setanding setiap bilik yang tersedia (RevPAR) berkembang antara satu peratus dan tiga peratus setahun untuk tempoh tiga tahun.

Bulan lalu, Marriott tersasar anggaran Wall Street bagi pendapatan suku keempat dan meramalkan keuntungan penuh setahun yang lebih rendah daripada jangkaan, menyalahkan permintaan yang lembap di Amerika Utara, pasaran terbesarnya.

Sehingga penutup Jumaat, saham Marriott meningkat 12.7 peratus tahun ini, berbanding peningkatan 11.3 peratus dalam Indeks Perkhidmatan Pengguna Dow Jones. - Reuters

Berita Harian X