Isnin, 18 March 2019 | 10:47am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

IUKL cadang mulakan bidang pengajian rel

KUALA LUMPUR: Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) mensasarkan menjadi institusi peneraju dalam bidang pengajian rel menerusi kerjasama dengan kontraktor rel swasta, dalam usaha menerokai industri rel Malaysia yang sedang berkembang maju.

Naib Canselor IUKL, Profesor Dr Ideris Zakaria, berkata dengan menawarkan subjek rel dan menjalin kerjasama dengan syarikat rel, pelajar akan dapat mengetahui permintaan menggalakkan dalam industri rel manakala syarikat rel boleh mendapatkan sumber daripada kumpulan bakat itu.

“Malaysia menyaksikan pertumbuhan pesat dalam pembangunan sistem pengangkutan awam, khususnya sistem rel dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dengan perluasan berterusan sistem rel kita, kami jangka wujud keperluan segera untuk lebih banyak profesional rel tempatan bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, kebolehpercayaan dan keselamatan perkhidmatan rel negara kita,” katanya kepada BERNAMA menerusi e-mel.

“Di IUKL, kami berusaha untuk mengeluarkan graduan yang dilengkapi pengalaman kerja sebenar. Kami ketika ini sedang mencari kaedah untuk bekerjasama dengan sektor swasta dan menyediakan peluang kepada graduan untuk mendapatkan pengetahuan bernilai yang hanya boleh diperoleh dengan menjalani latihan dalam projek rel sedia ada,” katanya.

Profesor Ideris berkata, program latihan itu penting bagi Malaysia kerana ia akan membantu mengeluarkan profesional bertaraf dunia.

“Ini juga akan menawarkan peluang untuk kami menampilkan bakat tempatan yang berkebolehan melaksanakan projek bertaraf dunia di dalam negara dan antarabangsa,” katanya.

Kerajaan melabur berbilion ringgit untuk memperluas sistem rel di kawasan bandar, serta menaik taraf rel antara bandar raya sedia ada untuk meningkatkan keberkesanan dan jaringan hubungan.

Ini termasuk pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang akan menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dan Johan Setia, Klang. Projek itu, dengan kos disemak semula RM15.02 bilion, dijangka beroperasi pada 2024 dan akan dimanfaatkan 67,000 penumpang sehari.

Kerajaan juga sedang melaksanakan perluasan laluan Transit Aliran Massa (MRT) yang akan menghubungkan Sungai Buloh, Serdang dan Putrajaya. Fasa pertama projek RM30.53 bilion itu dijangka beroperasi pada Julai 2021, manakala baki laluan dijangka beroperasi pada 2022.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Bhd juga sedang melaksanakan kerja baik pulih besar-besaran terhadap infrastruktur landasan kereta apinya dengan pelbagai projek, termasuk landasan berkembar dan elektrik laluan Gemas-Johor Bahru serta projek landasan berkembar Lembah Klang.

Program kejuruteraan IUKL mendapat akreditasi Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) dan diiktiraf oleh kerajaan.

EAC ialah badan ditauliahkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia dan adalah satu-satunya badan akreditasi yang diiktiraf bagi program ijazah kejuruteraan ditawarkan di Malaysia.

Ijazah kejuruteraan IUKL turut diiktiraf antarabangsa di bawah Perjanjian Washington, iaitu perjanjian multinasional yang mengiktiraf program ijazah kejuruteraan yang diberi akreditasi oleh badan bertanggungjawab di setiap negara yang memeterainya. - BERNAMA

Berita Harian X