Jumaat, 22 Februari 2019 | 7:46pm
Malaysia terus mengekalkan produktiviti buruh dalam arah aliran pertumbuhan positif pada suku keempat 2018. - Foto hiasan

Malaysia kekal pertumbuhan produktiviti buruh suku keempat

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengekalkan produktiviti buruh dalam arah aliran pertumbuhan positif pada suku keempat 2018, dengan produktiviti diukur melalui nilai tambah satu jam bekerjanya, berkembang sebanyak 2.7 peratus.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dalam satu kenyataan berkata ini menghasilkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus dalam nilai tambah.

Bagaimanapun, purata jam bekerja telah berkurangan sebanyak 0.5 peratus pada suku tahun di bawah kajian, katanya.

Nilai tambah setiap orang yang digaji mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus.

Produktiviti itu diukur dengan nilai tambah sejam bekerja oleh semua yang terlibat, termasuk kakitangan, pemilik dan pekerja keluarga yang tidak bergaji.

Di kalangan lima sektor utama ekonomi, sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan tertinggi dalam produktiviti setiap jam bekerja iaitu sebanyak 5.2 peratus, diikuti oleh perkhidmatan (3.7 peratus), pembuatan (2.5 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (2.3 peratus). Bagaimanapun, sektor pertanian mencatatkan penguncupan sebanyak 0.3 peratus.

Darell berkata, peningkatan prestasi produktiviti buruh dalam sektor pembinaan telah disumbangkan oleh pertumbuhan 2.6 peratus dalam nilai tambah manakala purata jam bekerja dipendekkan sebanyak 0.5 peratus.

Dalam sektor perkhidmatan, produktiviti buruh berkembang sebanyak 3.7 peratus disebabkan oleh kenaikan pertumbuhan dalam subsektor maklumat dan komunikasi (8.7 peratus), diikuti dengan subsektor pemborongan dan perdagangan runcit (6.6 peratus) serta perkhidmatan hartanah dan perniagaan (0.2 peratus).

Bagi sektor pembuatan, pertumbuhan produktiviti buruh kekal dipacu oleh subsektor kelengkapan pengangkutan, lain-lain pembuatan dan pembaikan (7.0 peratus); subsektor produk kayu, perabot, barangan kertas dan percetakan (4.7 peratus), manakala produk mineral bukan logam, logam asas dan fabrikasi logam (3.4 peratus).

Sementara itu, produktiviti buruh di Malaysia setiap orang yang diambil bekerja telah menokok sebanyak 2.2 setiap seorang dalam suku keempat 2018 berikutan pertumbuhan nilai tambah sebanyak 4.7 peratus, sementara pekerjaan melonjak sebanyak 2.4 peratus.

Darell berkata, terdapat keperluan untuk penambahbaikan yang berterusan dalam kecekapan buruh, inovasi, automasi serta penyebaran membabitkan kaedah pengeluaran yang baharu dan terkini bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Malaysia.

Pengenalan Dasar Negara Mengenai Industri 4.0 atau Industry4WRD oleh kementerian beliau, mengalakkan pembangunan dalam keupayaan inovatif termasuk kapasiti sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan bagi mewujudkan teknologi, produk dan perkhidmatan Malaysia.

Oleh itu penilaian ke atas industri, terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana, perlu dibuat untuk melihat kesediaan mereka dalam menerima pakai Industri 4.0, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X