Ahad, 17 Februari 2019 | 2:42pm
GAMBAR fail, kawasan binaan yang dipercayai tapak bagi pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kotasas, ketika tinjauan selepas pihak kerajaan mengumumkan menghentikan projek tersebut. - Foto Farizul Hafiz Awang

Industri rel kekal rancak, kontraktor raih manfaat

KUALA LUMPUR: Di sebalik beberapa perubahan sedang dilihat dalam industri kereta api membabitkan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur–Singapura (HSR), penganalisis kekal yakin dengan penerusan projek lain yang bakal memanfaatkan kontraktor tempatan.

Antara projek itu adalah Transit Aliran Ringan (LRT) 3 dan Transit Aliran Massa 2 (MRT) 2 dengan nilai gabungan RM40 bilion yang akan dapat menampung pendapatan industri itu, dalam jangka masa segera dan jangka sederhana, kata penganalisis MIDF Research, Danial Razak.

“Walaupun semakan semula kos adalah penting, kami percaya akan rasional langkah itu. Sekiranya kos itu dikekalkan dalam mempertahankan disiplin ekonomi, kami tidak menolak kemungkinan kerajaan akan memikul risiko fiskal lebih besar, di masa depan.

“Namun, mendapat lampu hijau untuk meneruskan projek berskala besar seumpama itu sebenarnya satu kelegaan besar bagi industri itu secara keseluruhannya,” katanya.

Danial kekal yakin dengan prospek industri rel tempatan kerana projek berkenaan akan terus memberi manfaat kepada Sunway Construction, WCT Holdings, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Gamuda Bhd, Muhibbah Engineering (M) Bhd dan Gabungan AQRS Bhd, kontraktor tempatan terkemuka yang terbabit dalam industri rel.

Beliau berkata, WCT misalnya telah memperoleh tiga kontrak LRT3 dengan nilai keseluruhan RM1.7 bilion bagi kerja membabitkan kerja pembinaan depoh, stesen dan jejambat.

Pada mesyuarat agung luar biasanya baru-baru ini, MRCB mengumumkan pembinaan projek LRT3 dijangka bermula pada separuh kedua 2019.

Hanya 10 peratus kerja projek telah siap setakat ini

Untuk rekod, projek itu tertangguh hampir setahun, sementara menunggu semakan berikutan pendedahan oleh Kementerian Kewangan bahawa kos keseluruhan (laluan itu) telah meningkat kepada RM31.65 bilion.

Kementerian kemudian meluluskan landasan projek sepanjang 36km bernilai RM16.3 bilion, berkurangan dengan ketara sebanyak 47 peratus daripada kos asal.

“Sementara depoh tren akan dikecilkan, kami fikir impak terhadap pakej WCT adalah minimum. Ini dengan mengambil kira fasa satu di depoh Johan Setia sudah hampir siap.

“Muhibbah Engineering turut memperoleh beberapa pakej penghadang bunyi bising bagi LRT3 dan MRT2. Kami percaya impak pakej berkenaan juga adalah minimum,” katanya.

Danial berkata sejak kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14, paras jualan di kaunter-kaunter pembinaan amat memberangsangkan, yang menunjukkan tahap menarik untuk disertai.

“Kami percaya pemulihan dalam harga saham telah dipacu oleh jurang penilaian ketara, disokong oleh keupayaan syarikat spesifik untuk menampung kebangkitan industri semasa,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran, beliau berkata kontraktor akan terus berusaha melaksanakan dan menyiapkan projek.

Peralihan daripada rakan penyampaian projek kepada struktur pasang siap bermakna kontraktor perlu memikul risiko pelaksanaan.

“Menguruskan risiko dengan baik akan diterjemahkan kepada margin lebih baik dari segi keuntungan.

“Dari segi prospek, kami fikir penerusan projek ECRL multi-bilion amat tidak pasti dalam waktu terdekat dan rundingan mungkin akan berlarutan berikutan cabaran untuk mencapai persetujuan secara baik antara pihak-pihak berkepentingan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X