Jumaat, 15 Februari 2019 | 8:47am

Warren Buffett jual saham Apple Inc

NEW YORK: Berkshire Hathaway Inc yang dikuasai jutawan Warren Buffett mengurangkan pegangan sahamnya dalam Apple Inc, dan sebaliknya menambah kedudukannya dalam Suncor Energy Inc yang berpangkalan di Kanada dan syarikat perisian Red Hat Inc.

Berkshire juga kelihatannya melupuskan AS$2.13 bilion dalam syarikat perisian pangkalan data Oracle Corp. Ini jarang berlaku bagi Berkshire, yang memiliki beberapa stok syarikat itu selama beberapa dekad, untuk melegakan pelaburan dengan pantas.

Perubahan itu didedahkan dalam pemfailan di badan kawal selia saham AS yang memperincikan portfolio saham Berkshire di Amerika Syarikat (AS) setakat 31 Disember, yang menyusut AS$38 bilion pada suku berkenaan kepada AS$183.1 bilion di tengah-tengah penjualan saham secara meluas.

Perubahan baharu dalam peraturan perakaunan bermakna penurunan itu berkemungkinan akan menghukum pendapatan bersih Berkshire, walaupun tidak kepada keuntungan operasi, apabila syarikat yang berpangkalan di Omaha, Nebraska itu melaporkan keputusan suku keempat dan prestasi akhir tahun, pada 23 Februari ini.

Pemfailan itu termasuk pelaburan oleh Buffett dan pengurus portfolionya Todd Combs dan Ted Weschler, tetapi tidak mengatakan siapa yang membeli dan menjual apa.

Berkshire berkata dalam pemfailan bahawa saham Apple miliknya menyusut kepada 249.6 juta saham pada suku itu daripada 252.5 juta, mengurangkan pegangan sahamnya kepada kurang daripada AS$40 bilion ketika mana harga saham Apple susut 30 peratus.

Walau bagaimanapun, Buffett tidak ada kena mengena dengan penjualan itu.

"Salah seorang pengurus selain Warren membuat kedudukan dalam Apple dan menjual sebahagiannya untuk membuat pembelian yang tidak berkaitan," kata pembantu Buffett, Debbie Bosanek dalam e-mel.

"Tiada saham di bawah arahan Warren yang pernah dijual."

Pelabur memantau pemfailan suku tahunan Berkshire untuk mendapatkan petunjuk berhubung strategi Buffett, Combs dan Weschler itu.

Harga saham sering bergerak lebih tinggi atau lebih rendah apabila Berkshire mendedahkan kepentingan baharu, atau melepaskan kepentingan lama.

Saham Suncor meningkat empat peratus selepas Berkshire memasuki semula stok syarikat itu, yang kali terakhir dimiliki pada suku ketiga 2016, menguasai 10.76 juta saham bernilai AS$300.9 juta.

Saham Red Hat naik 0.3 peratus selepas Berkshire berkata ia memiliki 4.18 juta saham bernilai AS$733.4 juta.

Saham Oracle jatuh 1.3 peratus. - Reuters

Berita Harian X