Jumaat, 8 Februari 2019 | 8:07am
ALEXANDRE de Juniac. - Foto AFP
ALEXANDRE de Juniac. - Foto AFP

Pertumbuhan muatan udara susut

KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap muatan udara global berkembang 3.5 peratus pada 2018 berbanding 9.7 peratus pada 2017 ekoran kelembapan perdagangan global, penurunan keyakinan pengguna dan keadaan geopolitik yang tidak menentu.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Alexandre de Juniac, berkata permintaan kargo udara kehilangan momentum menuju ke penghujung 2018.

“Kami optimis dalam berhati-hati bahawa permintaan akan berkembang di rantau ini sebanyak 3.7 peratus bagi 2019.

“Tetapi, dengan ketegangan perdagangan yang berterusan dan tindakan perlindungan perdagangan oleh beberapa kerajaan, terdapat risiko menurun yang ketara. Mengekalkan sempadan terbuka kepada pergerakan orang ramai dan perdagangan adalah kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kapasiti muatan, diukur dalam tan kilometer tersedia (AFTK), meningkat 5.4 peratus pada 2018, mengatasi pertumbuhan tahunan.

Ini memberi tekanan ke atas faktor muatan tetapi pulangan faktor muatan terbukti berdaya tahan.

Prestasi kargo udara pada 2018 terjejas oleh permintaan lemah pada Disember, turun 0.5 peratus tahun ke tahun.

“Ini adalah prestasi terburuk sejak Mac 2016. Bagaimanapun, kapasiti muatan meningkat 3.8 peratus dan ini adalah bulan ke 10 berturut-turut pertumbuhan kapasiti tahun ke tahun mengatasi pertumbuhan permintaan,” katanya.

Berhubung prestasi syarikat pengangkutan udara di Asia Pasifik, IATA berkata ia mencatatkan pertumbuhan paling lemah berbanding rantau lain pada Disember 2018 dengan penurunan permintaan 4.5 peratus berbanding tempoh sama 2017 manakala kapasiti meningkat 2.6 peratus.

Prestasi lemah pada Disember menyumbang kepada pertumbuhan permintaan muatan hanya 1.7 peratus pada 2018 berbanding 2017.

“Prestasi lemah syarikat pengangkutan udara di Asia Pasifik pada 2018 mencerminkan terutamanya permintaan eksport yang lembap daripada pengeksport utama rantau ini (China, Jepun dan Korea).

"Petanda aktiviti ekonomi yang sederhana di China dan peningkatan ketegangan perdagangan terus memberikan risiko negatif kepada kargo udara di Asia Pasifik,” kata AITA. - BERNAMA

Berita Harian X