Jumaat, 8 Februari 2019 | 7:55am

Permintaan kukuh penumpang berterusan pada 2018 - IATA

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan trafik penumpang global diukur dalam Perolehan Penumpang Setiap Kilometer (RPK) meningkat kukuh sebanyak 6.5 peratus pada 2018, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam satu kenyataan berkata, walaupun angka itu mewakili penurunan berbanding pertumbuhan 8.0 peratus pada 2917, ia adalah satu lagi tahun pertumbuhan mengatasi arah aliran.

Trafik penumpang global meningkat 5.3 peratus pada Disember 2018 berbanding bulan sama 2017, perkembangan tahun-ke-tahun paling perlahan sejak Januari 2018.

IATA berkata, permintaan lemah menyaksikan pertumbuhan trafik penumpang menyusut kepada kadar tahunan lima peratus bagi separuh kedua 2018, berbanding sembilan peratus dalam separuh pertama.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac, berkata persatuan itu menjangka prestasi sederhana tahun ini.

“Bagaimanapun, pertumbuhan perlahan pada separuh kedua 2018, ditambah dengan kebimbangan terhadap isu-isu termasuk Brexit dan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China, mewujudkan ketidakpastian kepada prospek positif ini,” katanya.

Sementara itu, trafik penumpang antarabangsa tumbuh 6.3 peratus pada 2018, lebih rendah berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan pada 2017.

Trafik syarikat penerbangan Asia Pasifik meningkat 7.3 peratus pada 2018 dipacu pengembangan ekonomi serantau yang kukuh dan peningkatan pilihan laluan bagi pengembara.

“Walaupun angka ini susut daripada pertumbuhan 10.5 peratus tahun-ke-tahun pada 2017, ia mencukupi untuk menerajui semua rantau bagi tahun kedua berturut-turut,” kata IATA, sambil menambah kapasiti meningkat 6.4 peratus dan faktor muatan naik 0.7 mata peratusan kepada 80.6 peratus. - BERNAMA.

Berita Harian X