Jumaat, 1 Februari 2019 | 2:12pm

Ringgit diunjur terus kukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum pengukuhan untuk berada pada paras antara RM4.0490 hingga RM4.0785 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat, demikian mengikut penganalisis pasaran.

Ketua Pasaran Kewangan RHB Investment Bank, Angus Salim Amran, berkata pengukuhan mata wang tempatan itu disokong oleh momentum jangkaan polisi Rizab Persekutuan (Fed) AS ke atas kadar faedahnya serta jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan akan mengekalkan dasar monetari akomodatif.

“Ringgit dijangka berada pada paras sokongan RM4.0790 sedolar dengan paras rintangan antara RM4.1549 dan RM4.2437.

“Mata wang tempatan mencatatkan paras paling kukuh dalam tempoh lima bulan selepas peningkatan harga minyak mentah dan jangkaan Fed tidak menaikkan kadar faedah buat masa ini,” katanya katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mata wang tempatan itu mengukuh kepada RM4.090 sedolar selepas ditutup pada RM4.1062 semalam.

Sementara itu, Pengarah Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli, berkata ringgit dijangka menuju ke paras RM4.00 berbanding dolar AS pada suku pertama tahun ini.

Katanya, pengurusan fiskal yang mantap oleh kerajaan dan harga minyak mentah yang terus mengukuh pada paras AS$62.01 setong ketika ini membantu menguatkan lagi nilai ringgit.

“Peningkatan secara konsisten aliran masuk dana asing sejak dua minggu lalu juga membantu ringgit untuk menuju ke paras RM4.00 (sedolar),” katanya.

Aliran masuk bersih dana asing ke dalam negara ini mencecah RM479.6 juta setakat 24 Januari lalu, sekali gus mengatasi jumlah aliran minggu terdahulu sebanyak RM471.3 juta.

Berita Harian X