Khamis, 31 Januari 2019 | 3:10pm
Pengarah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Tunku Imran Tuanku Ja'afar (dua dari kiri) dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar (kiri) serta Pengarah Urusan GCH Retail, Pierre-Olivier Deplanck pada pelancaran semula pasar raya Giant Sungei Wang. Foto NSTP/Salhani Ibrahim.
Pengarah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Tunku Imran Tuanku Ja'afar (dua dari kiri) dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar (kiri) serta Pengarah Urusan GCH Retail, Pierre-Olivier Deplanck pada pelancaran semula pasar raya Giant Sungei Wang. Foto NSTP/Salhani Ibrahim.

Pasar raya Giant Sungei Wang tampil konsep baharu

KUALA LUMPUR: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail), pengendali jenama pasar raya besar Giant hari ini membuka semula pasar raya Giant Sungei Wang selepas melengkapkan proses naik tarafnya yang menampilkan pengalaman beli-belah menarik kepada pelanggan.

Pasar raya itu adalah salah satu daripada cawangan pasar raya Giant tertua di Malaysia dengan menawarkan pelbagai produk segar dan selain menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke Plaza Sungei Wang di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan GCH Retail, Pierre-Olivier Deplanck, berkata syarikat menghabiskan banyak masa untuk memahami keperluan pelanggan yang berkunjung ke cawangan itu bagi memastikan mereka berpuas hati.

“Pasar Raya Giant Sungei Wang akan terus memberi inspirasi kepada pelanggan melalui pemilihan produk segar selain persekitaran yang lebih selesa,” katanya pada majlis pembukaan semula pasar raya itu di sini, hari ini.

Konsep cawangan baharu pasar raya itu menyaksikan Giant meneruskan kesinambungan produk makanan sedia dimakan dan bakeri konsep baharu, pengenalan barang dan produk baharu serta memperkembangkan variasi produk sedia dimakan seperti siri makanan Korea, set bento Jepun, hidangan makanan tempatan dan lapan variasi nasi.

Sebagai tambahan kepada cawangan itu, restoran Uncle Jack’s Fried Chicken menawarkan menu baharu yang terdiri daripada pilihan campur dan padan, set kombo berpatutan dan rasa nasi lemak yang ditambah baik untuk memenuhi keperluan pelanggan di kawasan sekitar.

Deplanck berkata, cawangan itu juga turut menyediakan ruang khas bagi menawarkan barangan buatan Malaysia dikenali Citarasa Malaysia yang memberi peluang kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Kami harap pembukaan semula cawangan yang menampilkan pelbagai produk segar berkualiti dan bernilai ini akan menjadikan pasar raya Giant Sungei Wang sebagai pilihan utama bagi pelanggan dan pelancong di kawasan sekitar,” katanya.

Sempena pembukaan semula cawangan itu, Giant akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti pengalaman dalam cawangan interaktif, sampel makanan dan hadiah menarik sepanjang Februari ini.

Selain itu, cawangan Giant terbabit menawarkan beg cenderamata percuma bersama baucar Giant RM5 untuk 200 pelanggan pertamanya di samping turut memberikan baucar itu kepada 1,000 pelanggan pertama yang berbelanja minimum RM50.

Berita Harian X