Selasa, 29 Januari 2019 | 5:49pm

Keyakinan pelabur penentu prestasi perniagaan

KUALA LUMPUR: Keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan dan semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara kepada 4.9 peratus akan mempengaruhi secara positif prestasi perniagaan pada 2019, demikian menurut Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Ketika membentangkan Laporan Jangkaan Ekonomi dan Perniagaan 2019, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Nurmazilah Mahzan, berkata dasar yang diperkenalkan kerajaan untuk menangani pelbagai isu ekonomi dan membanteras rasuah diyakini mampu meningkatkan ekosistem perniagaan.

Bagaimanapun, katanya satu pertiga responden menyatakan kebimbangan bahawa perubahan dasar di dalam kerajaan mampu memberi kesan buruk kepada masa depan prestasi perniagaan secara keseluruhan.

“Ketika majoriti peserta industri menerima perubahan dalam dasar kerajaan membabitkan isu ekonomi, ada juga yang bimbang dengan perubahan dasar ini.

“Sebanyak 43 peratus responden menyatakan hutang kerajaan yang tinggi mengurangkan perbelanjaan pelaburan dalam sektor awam manakala 28 peratus lagi percaya rasionalisasi dalam projek awam-swasta dan infrastruktur memberi kesan yang tidak diingini dalam sektor perniagaan pada 2019,” katanya membentangkan laporan berkenaan di sini, hari ini.

Laporan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Kaji selidik bertajuk ‘Ramalan Akauntan terhadap Ekonomi dan Dasar Anti-Rasuah Kerajaan akan Memacu Prestasi Perniagaan Malaysia 2019’ dijalankan bersama oleh MIA dan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) terhadap 399 akauntan dan profesional kewangan yang dijalankan antara 23 November hingga 9 Disember 2018.

Malaysia menikmati tempoh pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing sejak beberapa tahun lalu dan ini memberi gambaran kepada faktor utama yang memacu kepada prestasi perniagaan pada tahun ini.

Kementerian Kewangan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 sebanyak 4.9 peratus, naik 0.1 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu, Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 4.7 peratus pada 2019, berdasarkan asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh berikutan kepelbagaian sumbernya.

Mengulas lanjut, Nurmazilah berkata, kelemahan ringgit merancakkan industri eksport dan pendapatan dalam dolar.

“Sebagai antara negara mengamalkan ekonomi terbuka, dengan kadar dagangan kepada KDNK secara purata berjumlah 140 peratus sejak 2010, nilai ringgit mempengaruhi kompetitif eksport dan pendapatan syarikat dengan perolehan dalam nilai mata wang asing,” katanya.

Sementara itu, katanya, satu pertiga responden menjangkakan peningkatan dalam perbelanjaan sektor swasta memberi kesan positif kepada ekonomi pada 2019.

“Ini sejajar dengan perbelanjaan sektor swasta memacu kepada peningkatan ekonomi dengan kadar pertumbuhan sebanyak 10.9 peratus dan 9.0 peratus pada 2018 dan 2017,” katanya.

Berita Harian X