Ahad, 27 Januari 2019 | 3:48pm

Kawal selia mata wang digital langkah positif

KUALA LUMPUR: Perintah atau peraturan baharu bagi mengawal selia mata wang dan token digital sebagai sekuriti yang mula berkuat kuasa 15 Januari lalu, adalah peralihan dalam sistem pengawalseliaan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Rakan kongsi di Wong & Partners yang juga firma anggota Baker McKenzie International, Brian Chia berkata ia langkah yang amat positif memandangkan sebelum ini pihak berkuasa hanya mengeluarkan kenyataan mengingatkan pelabur mengenai risiko pelaburan dalam mata wang dan token digital tanpa asas pengawalseliaan.

“Berdasarkan perintah baharu ini, pasaran memperoleh lebih kepastian, dan sangat positif memandangkan ia seiring dengan aliran semasa.

“Malah, terdapat negara lain ASEAN seperti Thailand yang mengguna pakai pendekatan sama dan telah mempunyai garis panduan untuk mengawal selia mata wang dan token ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, perintah itu agak umum kerana memberi kepastian menyeluruh, namun dijangkakan lebih banyak garis panduan akan dikeluarkan oleh SC berkaitan kriteria dan perincian lain dalam tempoh terdekat bertujuan melindungi masyarakat yang melabur.

Chia turut menyifatkan pengawal selia Malaysia sebagai sangat proaktif dalam meluluskan pengawalseliaan, bertujuan melindungi pelabur memandangkan peraturan dan garis panduan negara sentiasa berada dalam aliran semasa.

Bagaimanapun, katanya ia semata-mata peraturan yang hanya boleh menyediakan rangka kerja dan terpulang kepada syarikat untuk mematuhinya.

Beliau berkata, perundangan tidak mungkin menyaingi perkembangan teknologi yang amat pantas malah secara umumnya perundangan berkaitan diluluskan hanya selepas teknologi diperkenalkan.

“Apa yang perlu dilakukan oleh pengawal selia, saya percaya mereka sedang melakukannya, malah terus memantau keadaan ini selain ciri-ciri perkembangan untuk meluluskan permohonan, kriteria bagi standard pendedahan tawaran, kriteria untuk pelesenan dan banyak lagi. Banyak perkara yang nampak mudah namun tidak sedemikian jika diteliti,” katanya.

Mengulas pelaburan dalam token dan mata wang digital oleh pelabur Malaysia, beliau berkata, ia masih belum rancak memandangkan ekonomi Malaysia tidak berkembang pada kadar sepatutnya selain tidak bersedia membuat pelaburan besar.

-BERNAMA

Berita Harian X