Isnin, 21 Januari 2019 | 1:46pm
China mencatat pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada suku keempat 2018 berbanding setahun sebelumnya. - Foto hiasan

Pertumbuhan ekonomi China terendah dalam 28 tahun

BEIJING: China mencatat pertumbuhan ekonomi lebih perlahan pada suku keempat 2018 berbanding setahun sebelumnya sebagaimana yang dijangka, ditarik turun oleh pelaburan lemah dan penyusutan keyakinan pengguna apabila Washington meningkatkan tekanan ke atas perdagangan, sekali gus menyebabkan pertumbuhan 2018 adalah yang paling lemah dalam tempoh 28 tahun.

Tanda-tanda lanjut pertumbuhan perlahan di China, yang menjana hampir satu pertiga daripada pertumbuhan global dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menimbulkan kebimbangan berhubung risiko kepada ekonomi dunia dan memberi kesan kepada keuntungan syarikat daripada Apple hinggalah kepada syarikat automotif.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat China berkembang pada kadar paling perlahan sejak krisis kewangan global, susut kepada 6.4 peratus daripada 6.5 peratus pada suku ketiga, demikian menurut data Biro Statistik Kebangsaan hari ini.

Penganalisis yang ditinjau Reuters menjangka pertumbuhan 6.4 peratus.

Sehubungan itu, pertumbuhan setahun penuh ialah pada 6.6 peratus, kadar perkembangan paling perlahan sejak tahun 1990 yang pernah dialami China.

Penganalisis yang ditinjau Reuters menjangka pertumbuhan semakin perlahan kepada 6.6 peratus daripada unjuran disemak semula 6.8 peratus pada tahun 2017.

Aktiviti yang lemah dan tanda-tanda peningkatan pengangguran menggariskan keperluan mendesak bagi meningkatkan langkah-langkah sokongan ekonomi ketika mana Beijing bersengketa dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung perdagangan.

Pembuat dasar China menjanjikan lebih banyak sokongan tahun ini bagi mengurangkan risiko kelembapan yang lebih serius, tetapi mereka menolak "limpahan" rangsangan sebagaimana yang dilakukan Beijing pada masa lalu, yang mana ia dengan cepat merancakkan kadar pertumbuhan tetapi meninggalkan hutang yang menggunung.

Dengan langkah sokongan yang dijangka mengambil masa untuk memberikan kesannya, kebanyakan penganalisis percaya keadaan di China mungkin akan menjadi lebih teruk lagi sebelum ia menjadi lebih baik, dan menjangka kelembapan lebih lanjut kepada 6.3 peratus tahun ini.

Pada asas suku tahun, pertumbuhan susut kepada 1.5 peratus pada Oktober-Disember daripada 1.6 peratus tempoh sebelumnya.

Data Disember yang dikeluarkan bersama-sama KDNK memberi gambaran ekonomi yang bercampur-campur ekonomi pada akhir 2018, dengan pengeluaran kilang meningkat tanpa diduga sementara pelaburan dan jualan runcit terus merosot.

Pengeluaran perindustrian berkembang 5.7 peratus pada Disember berbanding setahun sebelumnya, mengatasi jangkaan 5.3 peratus dan terus meingkat berbanding 5.4 peratus yang dicatat pada November, walaupun eksport yang lemah.

Pelaburan aset tetap naik 5.9 peratus pada 2018, tersasar daripada unjuran 6.0 peratus dan adalah pertumbuhan tahunan paling perlahan sejak sekurang-kurangnya 1996. - Reuters

Berita Harian X