Rabu, 16 Januari 2019 | 5:25pm
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming (kiri) pada forum Bank Dunia di Kuala Lumpur. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming (kiri) pada forum Bank Dunia di Kuala Lumpur. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi.

Brexit tidak jejas perdagangan Malaysia-UK

KUALA LUMPUR: Perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK), dijangka tidak terjejas sebaliknya hanya memberi kesan jangka pendek, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, walaupun dasar pelaburan dan perdagangan di UK masih samar susulan krisis itu, kerajaan yakin syarikat UK akan terus menjalankan aktiviti dagangan dengan syarikat tempatan.

“Sebagai sebahagian daripada Malaysia, kita pastinya akan terus melabur dan menjalankan aktiviti dagangan seperti biasa dengan UK.

“Namun, sudah pasti sehinggalah krisis ini dapat diselesaikan, ia akan mempengaruhi pelabur Malaysia untuk membuat keputusan terhadap perancangan pelaburan di UK dalam jangka pendek,” katanya kepada media selepas menghadiri forum Bank Dunia di sini, hari ini.

Majoriti Ahli Parlimen Britain hari ini menolak untuk menyokong perjanjian Brexit yang diusulkan Perdana Menteri, Theresa May.

May kalah dalam undian usul Brexit di Parlimen negara itu dengan majoriti 230 undian yang mana 432 tidak bersetuju dengan pakej Brexit manakala 202 bersetuju.

Britain terus diselubungi fasa ketidakpastian berhubung keanggotaannya dengan Kesatuan Eropah (EU), iaitu blok perdagangan terbesar dunia yang membentuk ekonomi negara itu sejak berdekad lalu.

May semalam menggesa penggubal undang-undang untuk menimbang semula usul itu, namun Parlimen kelihatan bertegas untuk menolak perjanjian berkenaan.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, pihaknya berharap kerajaan UK mampu mencapai kata sepakat berhubung isu Brexit secepat mungkin dengan menawarkan dasar yang lebih terjamin kepada pelabur asing.

“UK sentiasa terbuka untuk meneroka lebih banyak peluang dagangan dan pelaburan dengan Malaysia termasuk membincangkan mengenai penambahbaikan perdagangan bebas.

“Namun, ketika ini UK masih tidak boleh berunding lebih lanjut mengenainya kerana masih di bawah EU. Malaysia sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan mereka (UK),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan optimis jumlah dagangan Malaysia mencecah RM1.8 trilion bagi 2018.

“Bagi tempoh Jun hingga November aktiviti dagangan import dan eksport negara berjumlah RM1.7 trilion dan ia melepasi sasaran awal lima peratus, dengan meningkat 6.2 peratus.

“Kita yakin (dagangan Malaysia) mampu mencatat lebih RM1.8 trilion pada 2018 dan keputusan itu akan diumumkan pada Februari ini,” katanya.

Berita Harian X