Jumaat, 11 Januari 2019 | 10:36am

Ford, Jaguar buang ribuan pekerja

FRANKFURT: Ford dan Jaguar Land Rover mendedahkan rancangan mengurangkan kakitangannya merentas Eropah susulan berhadapan kesukaran menghadapi penyusutan permintaan terhadap kenderaan diesel, peraturan pelepasan asap yang lebih ketat dan kelembapan ekonomi global diterajui oleh China.

JLR milik Tata yang berpangkalan di tengah England, berkata ia akan membuang 4,500 pekerja daripada 42,500 ketika ini, manakala Ford berkata ia akan mengurangkan ribuan pekerjaan sebagai sebahagian daripada baik pulih operasi, yang berkemungkinan menyaksikan penutupan kilang dan penamatan pengeluaran beberapa model.

Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), ditambah lagi dengan Brexit telah memecahkan pasaran yang dulunya adalah pasaran global, memaksa pengeluar kenderaan menilai semula keuntungan ke atas model tertentu dan lokasi kilang.

Dalam suku kewangan baru-baru ini, keuntungan JLR dan Ford jauh ketinggalan di belakang pesaing BMW, Volkswagen dan Peugeot, menambahkan lagi tekanan pelabur terhadap pihak pengurusan untuk mengurangkan kerugian.

"Kami mengambil tindakan tegas untuk mengubah perniagaan Ford di Eropah," kata Steven Armstrong, naib presiden kumpulan, Eropah, Timur Tengah dan Afrika, dalam satu kenyataan Khamis.

Ford Europe, yang mengambil 53,000 pekerja, rugi sejak bertahun-tahun lamanya dan tekanan untuk menyusun semula operasi meningkat sejak pesaing utama General Motors meningkatkan keuntungan dengan penjualan jenama Opel dan Vauxhall kepada Peugeot SAC dari Perancis.

JLR berkata, permintaan di China, suatu ketika dulu antara pasarannya yang paling kukuh, jatuh 21.6 peratus pada 2018, kejatuhan terbesar dalam mana-mana pasaran.

"Kelembapan ekonomi di China bersama-sama dengan ketegangan perdagangan yang berterusan terus mempengaruhi keyakinan pengguna," kata Ketua Pegawai Perdagangan Jaguar Land Rover, Felix Brautigam.

Pembuangan pekerja berlaku ketika mana Ford dan JLR dilanda penurunan permintaan terhadap kereta enjin diesel dan selepas pembuat dasar Kesatuan Eropah (EU) bersetuju bulan lalu untuk mengenakan tahap pencemaran yang lebih ketat, memaksa syarikat automotif mempercepatkan pelaburan terhadap pengeluaran kereta elektrik.

"Kami percaya Ford Europe memerlukan 20 hingga 30 peratus pengurangan kapasiti dan jumlah pekerja," kata penganalisis Morgan Stanley, Adam Jonas dalam satu nota.

Ford berkata, ia akan berusaha keluar daripada segmen van keluarga atau MPV, mengkaji semula operasi di Russia, dan menggabungkan ibu pejabat Ford United Kingdom dan Ford Credit ke satu lokasi di Dunton, Essex untuk mencapai marjin operasi enam peratus di Eropah.

"Kami mahu menjadi penyumbang modal bersih dan bukan pengkritik tegar," kata Armstrong kepada wartawan merujuk kepada sumbangan kewangan Eropah kepada syarikat induk Ford Motor di AS.

Ford Europe melaporkan kerugian sebelum faedah dan cukai berjumlah 245 juta euro (AS$282 juta) pada suku ketiga, bersamaan dengan marjin EBIT negatif 3.3 peratus.

Jaguar Land Rover, yang dimiliki Tata Motors dan menggaji kira-kira 40,000 pekerja di Britain, melaporkan penurunan jualan 4.6 peratus kepada hampir 600,000 unit kenderaan.

Ia mencatat kerugian 354 juta pound antara April dan September 2018. - Reuters

Berita Harian X